Kewajaran Peruntukan Hukuman Berat Ke Atas Penagih Dadah di Malaysia Menurut Perspektif Shariah

Pendahuluan

Masalah penyalahgunaan dadah adalah gejala penyakit masyarakat yang paling merbahaya sekarang. Ia menyerang semua lapisan masyarakat khususnya golongan muda. Dadah melemahkan kekuatan ekonomi dan melumpuhkan pembangunan negara dengan meracuni pemikiran dan semangat individu untuk memantapkan diri dengan keperluan semasa dan cabaran masa hadapan. Dadah juga merupakan punca segala jenis jenayah dan maksiat seperti merompak, mencuri, memeras ugut dan lain-lain jenayah yang membawa kekacauan dan angkara rumah tangga, masyarakat dan negara. Di samping itu penagih dadah adalah beban kepada negara. Kerajaan terpaksa menghabiskan duit berjuta-juta ringgit setahun untuk menanggung kos pusat-pusat pemulihan. Pada masa yang sama pengedar mengaut keuntungan berganda-ganda daripada penderitaan penagih yang setia.

Daripada dulu lagi umat Islam ditegah daripada perkara-perkara yang memabukkan. Islam mengharamkan benda-benda yang memabukkan bagi tujuan menjaga akal, kesihatan tubuh badan dan melindungi individu dan anggota masyarakat keseluruhannya. Dengan kata lain Islam mengharamkan perkara-perkara yang memabukkan kerana kemudaratan yang disebabkan olehnya. Kemudaratan ini melibatkan diri penagih pada aqalnya, tubuh badannya, pembaziran harta dan kerosakan hubungan keluarga dan tidak menunaikan suruhan agama. Ia tidak terbatas pada dirinya sahaja tetapi menyusahkan masyarakat dan umat keseluruhannya.

Penyalahgunaan Dadah Menurut Perspektif Syarak
Tidak ada dalil yang jelas menyebut perkataan dadah dan pengharamannya. Ini kerana masalah ini baru berlaku. Umat Islam hanya mengenali dadah pada kurun ke tujuh Hijrah selepas kemasukan Kerajaan Tartar.

Atas alasan bahawa tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa dadah itu haram seperti arak yang dianggap najis oleh sebahagian besar umat Islam pada hari ini ada yang mengambil kesempatan berseronok dengan dadah atau bekerja keras mengaut keuntungan daripada perniagaan dadah.

Namun Rasulullah telah diberikan jawami al-Kalim di mana kata-katanya adalah sedikit tetapi mempunyai banyak maksud. Dalil-dalil yang digunakan oleh ulama bagi pengharaman dadah adalah berdasarkan kaedah-kaedah dan prinsip-prinsip yang digunakan untuk mengambil hukum daripada Al-Quran atau Hadis.

1. Pengharaman Dadah Berdasarkan nas
Banyak hadis-hadis Rasulullah yang menunjukkan haramnya dadah. Diantaranya hadis Ummu Salamah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud :
(نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن كل مسكر)
Maksud hadis: “Rasulullah melarang setiap perkara yang memabukkan.”

Dalam hadis lain sebagaimana yang diriwayatkan oleh Jabir Rasulullah S.A.W. bersabda:
(ما أسكر كثيره فقليله حرام)
Maksudya: “Apa-apa saja yang memabukkan adalah haram banyak ataupun sedikit.”

Tidak syak lagi bahawa dadah boleh membunuh manusia sedangkan Allah
melarang segala perbuatan yang boleh menyebakan kemusnahan diri. Samalah juga haram bagi orang Islam memakan atau meminum benda yang boleh menyebabkan kebinasaan pada dirinya apabila diketahuinya.

2. Pengharaman Penyalahgunaan Dadah Kerana ia Merangkumi Madlul Lafaz Khamr

Para ulama menggunakan lafaz khamr bagi semua benda yang meninggalkan kesan kepada aqal selepas pengambilannya. Ini adalah berdasarkan maksudnya yang umum daripada segi bahasa. Pada asalnya perkataan khamr bererti tutup dan perkara yang menutup akal (memabukkan) dan menghilangkan kesedaran dipanggil khamr kerana ia menutup akal dan menghalangnya daripada berfungsi seperti biasa. Dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
(كل مسكر خمر وكل مسكر حرام)
Ertinya : “Setiap yang memabukkan adalah khamr dan setiap khamr adalah haram”

Walaupun pengikut mazhab Abu Hanifah menghadkan nama khamr kepada
arak yang dibuat daripada anggur, mereka bersepakat dengan jumhur dalam mengharamkan semua benda yang memabukkan. Ia adalah haram tanpa mengira bentuknya sama ada jenis cair atau debu atau pepejal. Pengharamannya bukanlah kerana zatnya tetapi kerana kemudaratannya.

Syeikh Yusuf al-Qardawi juga telah memberi fatwa pengharaman dadah seperti marijuana, kokain, dan ganja dan lain-lain yang memabukkan dan mengkhayalkan. Beliau telah menggolongkan dadah di bawah khamar yang diharamkan.

3. Pengharaman Penyalahgunaan Dadah Melalui Kaedah Qias.

Sesetengah ulama menggunakan kaedah qias untuk pengharaman arak. Mereka mengqiaskan dadah dengan khamr(arak). Kedua-duanya mempunyai illah yang sama iaitu kerana berbagai kemudaratan yang berlaku seperti memabukkan merosakkan anggota badan dan punca kepada maksiat dan jenayah lain.

4. Pengharaman Penyalahgunaan Dadah Berdasarkan Maqasid (Matlamat) Syara’

Ada pula mengharamkan dadah berdasarkan kaedah daf’u al-darar dan dar’ul-mafasid. Islam adalah agama yang memelihara kepentingan asasi manusia iaitu agama, aqal, nyawa, harta dan keturunan. Semua perkara yang boleh mengancam perkara-perkara penting ini diharamkam oleh Syara’. Dadah bukan sahaja merosakkan akal tetapi juga nyawa, harta, keturunan dan agama.

Semua dalil dan hujah di atas menunjukkan haramnya penyalahgunaan dadah sama ada menagih atau menjualnya bagi tujuan tersebut.

Ibn Taimiyyah berpendapat bahawa penyalahgunaan dadah digolongkan di bawah kesalahan hudud. Hujahnya ialah dadah adalah haram seperti arak. Dengan itu pengambilannya juga adalah haram. Penagih mestilah dihukum sebat atas kesalahan hudud kerana ianya lebih keji daripada arak. Tambahan pula dadah merosakkan akal fikiran dan mengubah tabiat badan sehingga menjadi pondan dan dayus bagi lelaki dan juga membawa berbagai mafsadah.

Penyalahgunaan Dadah Adalah Satu Kesalahan Dan Penagih Perlu Dihukum
Penagih dadah mestilah juga diperslahkan dan patut dihukum. Untuk menyelesaikan masalah penyalahgunaan dadah dan kehancuran yan disebabkan olehnya, penagih mestilah juga dipersalahkan selain daripada pengedar dadah.
Adalah tidak wajar untuk menganggap bahawa penagih adalah seorang pesakit yang sentiasa perlukan rawatan. Dan rawatannya pula ialah dipusat pemulihan. Kalau sudah keluar pusat serenti, dimasukkan balik, keluar lagi lepas tu ada bukti masuk balik. Dengan itu, perlu juga dikaji sejauh mana polisi pemulihan yang sudah lama diamalkan di Negara kita berjaya membendung masalah ketagihan dadah.
Perlu kita fahami dan perlu kita akui bahawa ketagihan itu bukanlah sejenis penyakit seperti denggi, barah, sakit buah pinggang dan lain-lain penyakit yang tidak dicari dan tidak dapat dielakkan. Ini kerana ketagihan adalah penyakit yang dibuat-buat dan dicari. Dengan kata lain tidak ada pun manusia mahupun haiwan yang dilahirkan dengan tabiat ketagihan kepada sesuatu. Ketagihan kepada dadah adalah ketagihan kepada keseronokkan dan khayalan yang dialami semasa mengambil dadah. Ia tidak kekal dan bagi seorang penagih ia perlu diulangi. Perlu kita akur bahawa semua keseronokan di dunia ini adalah tidak kekal. Semakin banyak pengambilan dadah semakin tertagih si penagih untuk mendapatkan keseronokan dan kebebasan daripada segala tanggungjawab sebagaimana yang dialami sebelumnya.
Munkin ada yang mencadangkan bahawa ketagihan adalah satu penyakit hati seperti tamak, benci, dengki, cintakan dunia, ikut nafsu, pentingkan diri sendiri, sombong dan lain-lain, dengan itu ia perlu dirawat. Di dalam Islam setiap individu muslim perlu membersihkan hatinya daripada penyakit-penyakit hati tadi dan ia dianggap sebagai sifat-sifat mazmumah (tercela). Namun, penyakit tersebut munkin tidak boleh dirawat di hospital ataupun di pusat–pusat pemulihan. Hanya kesedaran dan kefahaman agama serta amal ibadat dapat membantu seseorang individu mengawal dirinya daripada sifat sifat mazmumah tadi.
Perlu dinyatakan di sini bahawa sifat-sifat mazmumah tadi bukanlah sebab dan alasan kepada hukuman ataupun pengecualian daripada hukuman. Dengan kata lain, seseorang itu tidak akan dihukum kerana tamak, benci, cinta, dengki dan seterusnya sehinggalah dia melakukan sesuatu kesalahan secara fizikal. Seseorang juga tidak dikecualikan daripada hukuman atas alasan memiliki sifat sifat mazmumah tadi seperti merosakkan harta orang lain kerana dengki atau dendam.
Berbalik kepada penagih dadah, ketagihan tidak boleh dijadikan alasan untuk dikecualian daripada hukuman sama seperti sifat dengki dan dendam tadi. Di sebaliknya setiap kali mengambil dadah atau menghisap dadah atau meminum arak dianggap sebagai satu kesalahan. Apa kesalahan beliau? Minum arak atau hisap dadah. Bukannya ketagihan. Dengan itu tertuduh perlu dibuktikan, dibicarakan dan dihukum kerana kesalahannya meminum arak atau pengambilan dadah.
Penagih sebenarnya mempertuhankan nafsu keseronokannya untuk bersama dengan dadah dan sanggup melakukan apa sahaja perbuatan yang keji seperti mencuri, menipu, bahkan sanggup membunuh walaupun ahli keluarga sendiri demi kecintaan dan kerinduannya untuk bersama dadah. Kasih sayng seorang ibu, adik, kakak, ayah, datuk ataupun nenek adalah tidak sama bahkan tidak bernilai untuk dibandingkan dengan dadah. Kecintaan yang melibihi segala-galanya itu adalah sama dengan syirik kerana si penagih akan patuh kepada seruan dadah dan sanggup melakukan apa sahaja walaupun melanggar perintah Allah. Walaupun begitu amatlah sukar untuk membuktikan kecintaanya yang tinggi kepada dadah kecuali apabila beliau mengambil dadah ataupun mabuk dan khayal kerana penyalahgunaan dadah secara sengaja. Dengan itu penagih mestilah dihukum kerana kesalahannya menghisap dadah (bukti kecintaannya kepada dadah). Ini kerana kecintaan kepada perkara yang diharamkan adalah haram, tetapi amatlah sukar untuk menghukum seseorang individu di atas kesalahannya mencintai perkara haram. Bahkan menurut perspektif Shariah niat untuk melakukan kesalahan tanpa perlakuan perbuatan salah tidak dianggap sebagai kesalahan sehinggalah ia betul-betul berlaku.
Pada setiap kesalahan jenayah, penjenayah akan dipersalahkan. Contohnya dalam kes curi, alasan pencuri kononnya beliau mengidap penyakit suka mencuri atau pantang ada peluang ambil harta orang adalah tidak diterima sama sekali. Dia tetap bersalah dan mestilah dihukum. Perompak dan peragut berkata bahawa mereka sakit dan berpenyakit. Apa sakitnya? Sakitnya ialah gemar merompak dan meragut, tak boleh hidup kalau tak berbuat demikian. Si penipu pula berkata saya juga sakit. Sakit saya ialah gemar menipu, memang tak senang kalau tak tipu orang. Si kaki pukul dan kaki gaduh juga berhujjah bahawa mereka sakit. Sakit mereka ialah gemar memukul orang. Si pembunuh pun ada penyakit juga iaitu suka melakukan perbuatan terkeji itu. Orang yang berzina dengan isteri orang meminta maaf, dia kata dia ada penyakit. Apa sakitnya? Penyakitnya ialah dia suka berbuat demikian dan sanggup berdepan dengan apa-apa halangan pun demai mencapai hajatnya. Si pengedar dadadah pun berhujjah bahawa dia juga sakit iaitu ketamakan mendapatankan harta daripada penjualan dadah walaupun ia sangat merbahaya dan boleh membawa kepada hukum gantung.
Saya yakin tidak ada sesiapapun akan menerima alasan sakit dan penyakit-penayakit tadi, samada hakim ataupun orang awam.
Sudah tiba masanya untuk kita menganggap bahawa ketagihan dadah dan pengambilah dadah secara haram adalah satu jenayah dan pesalahnya mestilah dihukum. Kajian perlu dibuat tahap yang dianggap sebagai sakit yang boleh dirawat dan sakit yang perlu dihukum. Munkin buat kali pertama boleh dihantar ke pusat serenti, untuk kes seterusnya mestilah dihukum. Ataupun dihukum dahulu untuk setiap kes baharu iaitu sebatan yang ringan tetapi dilakukan di khalayak ramai selapas sembahyang jumaat (sebagai contoh). Sekalipun tidak dilakukan di khalayak ramai, hukuman sebat atau apa-apa hukuman ringan sebagai pengajaran untuk mencegah penagih daripada meneruskan tabiat. Kajian mendalam perlu dibuat untuk mencari alternative yang paling sesuai.

Hadith-Hadith Berkenaan Hukuman Ke Atas Peminum Arak (dikiaskan dengan Penyalahgunaan Dadah)
1. Daripada Anas bin Malik (RA) bahawa seorang lelaki didapati bersalam meminum arak telah dibawa kepada Rasulullah (SAW), beliau telah dikenakan hukuman 40 sebatan dengan pelepah tamar. Abu Bakar (pada masa pemerintahannya) juga telah melakukan perkara yang sama, sehingalah pada masa Umar (menjadi khalifah), beliau telah berincang dengan para sahabat dan Abdul Rahman bin Auf telah mencadangkan (supaya diperberatkan hukuman kepada 80 sebatan) hudud yang paling ringan iaitu 80 sebatan.
2. Daripada Sayyidina Ali (RA) berkenaan kes al-Walid bin Uqbah bahawa Rasulullah (SAW) telah mengenakan 40 sebatan kepada peminum arak, begitu juga Abu Bakar (RA), adapun Umar(RA), beliau telah mengenakan 80 sebatan dan semua ini adalah sunnah, dan yang terakhir adalah yang paling aku sukai. Di dalam hadith ini disebut bahawa ada seorang menyaksikan bahawa al-Walid meminum arak. Sayyidina Uthman berkata dia tidak akan memuntahkannya kecuali setelah meminumnya.
3. Daripada Sayyidina Muawiyah (RA) bahawa Rasulullah bersabda berkenaan peminum arak: “Sekiranya dia minum arak (buat kali pertama) sebatlah dia 40 sebatan, sekiranya dia minum arak lagi (untuk kali kedua) sebtlah dia dengan 40 sebatan, sekiranya dia minum arak lagi (untuk kali ketiga) sebatlah dia dengan 40 sebatan, sekiranya dia minum lagi buat kali ke empat penggallah lehernya (hukuman mati). Walau bagaimanapun menurut Tarmizi hadith ini sudah dinasakhkan.

Hadith –hadith di atas dengan jelas menyatakan hukuman kepada peminum arak ialah 40 sebatan. Kesalahannya ialah meminum arak. ‘Illah atau alasan kepada pengharaman arak ialah kerana ia memabukkan, ‘illah yang sama juga didapati pada dadah. Hadith-hadith di atas juga menunjukkan bahawa sekali minum dianggap sebagai satu kesalahan dan kesalahan itu berulang untuk kali seterusnya di mana hukuman yang lain perlu dikenakan. Pengajaran yang lain ialah ketagihan bukanlah tidak dikiran sebagai penyakit yang membolehkan pesalah dimaafkan ataupun di kecualikan daripada hukuman.
Daripada hadith-hadith di atas, boleh disimpulkan bahawa hukuman yang berat boleh dikenakan keatas peminum arak. Namun amalan para sahabat dan khulafa al-Raashidin seperti Umar, Uthman dan Ali juga menunjukkan tidak ada hukuman mati dijatuhkan kepada pesalah minum arak yang berulang. Namun jelas sekali pemberatan hukuman dilakukan oleh Umar dimana peminum arak dikenakan 80 sebatan bersandarkan kepada pendapat Abdul Rahman bin Auf bahawa hukuman hudud yang paling ringan ialah 80 sebatan iaitu hukumkan kepada kesalahan qadzf (tuduhan zina yang palsu terhadap seseorang yang tidak bersalah). Hukuman yang berat ini juga diperstujui oleh Sayyidina Ali (RA). Dalam mazhab Shafie hukuman bagi kesalahan minum arak ialah 40 sebatan dan ia dianggap sebagai hudud sebagaimana yang disebut di dalam hadith..
Perlu dinyatakan di sini, menurut perspektif Shariah, di samping hukuman hudud (setiap hukuman sudah ditetapkan okeh syarak), pihak berkuasa boleh mengenakan hukuman yang berat kepada sesetengah kesalahan jenayah yang merbahaya dan ini dikategorikan di bawah kesalah ta’zir ataupun “Siyasah Syariyyah”.

Berdasarkan kepada hadith-hadith di atas bolehlah dicadangkan agar kesalahan buat kali pertama dikenakan 40 rotan dan kesalahan berulang boleh dikenakan jumlah yang sama ataupun lebih iaitu 80 sebatan dan di bawah prinsip ta’zir bagi kesalahan buat kali ketiga boleh dikenakan 120 sebatan ataupun penajara.

Hukuman berat perlu dikenakan ke atas penagih. Ini kerana penagih yang berulang memang tidak ada harapan lagi dan kebiasaanya kesudahannya ialah mati awal. Dengan bahasa yang kasar, lebih lama dia hidup lebih bayak masalah dan beban yang dipikul oleh ahli keluarga, masyarakat dan pihak berkuasa. Ini hanyalah saranan dan perlu diingat di dalam keasalahan ta’zir, pihak berkuasa boleh mengenakan hukuman yang setimpal dengan bijaksana.
Prinsip ta’zir juga merangkumi tujuan pendidikan. Hukuman yang tidak ditetapkan oleh Syarak tetapi boleh dikenakan oleh pihak berkuasa dengan tujuan menghukum dan membimbing. Dengan itu boleh juga dimasukkan di sini hukuman berbentuk kerja-kerja sosial yang dikenakan semasa di dalam penjara seperti memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya dadah. Apa-apa aktiviti yang boleh membantu pemulihan juga perlu dikaji seperti membuka tanah hutan, aktiviti pertanian, tanam semula getah atau kelapa sawit dan penternakan. Pada zaman Rasulullah dahulu ada seorang lelaki pondan yang suka bergaul dengan kaum wanita. Di antara hukuman yang diekenakan ialah belaiu tidak dibenarkan tinggal di dalam kota Madinah buat beberapa ketika. Di sebaliknya belaiu ditugaskan menjaga binatang ternakan di luar kota Madinah di mana dengan melakukan kerja-kerja kasar, beliau berjaya mengurangkan penyakit kelembutan (kecenderungan menjadi pondan).

Perlu juga kita ambil kira kos pembaiayaan pusat pemulihan adalah begitu besar dan terpaksa ditanggung oleh kerajaan yang mana bilangannya lebih dariapada 30 buah iaitu lebih banyak daripada IPTA yang mana syarat kemasukannya hanya dengan ujian air kencing. Kos yang besar ini boleh digunakan sebagai biasiswa dan pembiayaan pelajar-pelajar miskin yang ingin belajar di sekolah sekolah rendah, menegah dan juga di peringkat menara gading.

Hukum Mengedar Dadah Menurut Pandangan Syarak.
Apabila Islam mengharamkan sesuatu perkara seperti daging babi, semua perkara yang berkait seperti menjual, mengangkut dan membekal adalah haram. Semua perantaraan yang membawa kepada tujuan haram adalah haram. Samalah juga dengan kes dadah. Hukum berniaga ataupun mengedar dadah adalah haram berdasarkan larangan jual beli arak .

Rasulullah S.A.W dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Jabir melarang keras jual-beli perkara haram:
(إن الله ورسوله حرم بيع الخمر والميتة والخنزير والأصنام) متفق عليه
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah dan Rasulnya mengharamkan jual beli arak, bangkai, babi dan berhala.”

Para ulama juga bersetuju mengatakan bahawa adalah haram hukumnya menanam pokok-pokok yang menghasilkan bahan-bahan dadah dan haram memperolehi hasil jualannya.

Dadah dengan bermacam-macam jenisnya dan kesan-kesan kimia yang ditinggalkan boleh menyebabkan kematian dan ia boleh dianggap satu cara pembunuhan. Dengan itu pengedar dadah secara tidak langsung boleh dianggap sebagai pembunuh kerana dia memberikan bahan yang boleh membunuh mangsanya (penagih). Mungkin mereka boleh berhujah bahawa penagih ada pilihan dan pengambilan dadah adalah di atas dasar kehendak mereka sendiri. Soal pilihan penagih ini adalah dosanya sendiri. Tetapi penagih tidak akan menderita tanpa wujudnya dadah. Dia bagaikan terpaksa atas desakan syahwat yang tinggi yang tidak terkawal untuk mendapatkan bahan tersbut. Manakala pengedar pula mengaut keuntungan yang berlipatkali ganda. Perlu diingat bahawa seseorang dikira membunuh apabila dia memberikan racun untuk membunuh seseorang.

‘Abdul Qadir ‘Audah menjelaskan; di dalam mazhab Imam Malik, seseorang yang memberi racun kepada orang lain apabila mangsa mengetahui keadaan itu ia dianggap membunuh diri tetapi jika mangsa tidak mengetahui ia dianggap membunuh dengan sengaja. Imam Ahmad pula berpendapat sekiranya seseorang memberi racun kepada orang lain tanpa pengetahuannya ia dianggap membunuh dengan sengaja jika racun itu biasanya menyebabkan kematian. Tetapi kalau kebiasaannya ia tidak mengakibakan kematian ia boleh dikira membunuh “quasi-intentional” (Shibh al ‘Amd).

Dengan itu bolehlah dirumuskan bahawa pengedar dadah tidak terlepas daripada kesalahan menyebabkan kematian keatas mangsanya disamping menimbulkan huru hara dan gejala jenayah lain yang berpunca daripada dadah. Dengan itu hukuman yang setimpal ialah hukuman mati. Secara khususnya, boleh dirumuskan bahawa pengedar dadah melakukan dua kesalahan. Pertama, menyebabkan kematian kepada penagih dengan membekalkan dadah yang akan membinasakannya. Kedua, mendapat keuntungan dengan bayaran yang mahal di sebalik penderitaan penagih. Pendapatan yang lumayan itu adalah hampir sama dengan merompak dan merampas harta orang lain secara paksa.

Peruntukan Hukuman Mati ke Atas Pengedar Dadah di Malaysia

Berdasarkan kepada undang-undang yang diperuntukkan dalam akta, seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan) 1983 Akta A533 dengan jelas menyebut hukuman mati mandatori ke atas pengedar dadah yang disabitkan kesalahannya.

Sebelum pindaan dibuat oleh seksyen 14 Akta Dadah Berbahaya (Pindaan) 1983 Akta A533, peruntukan 39B(2) Ordinan 1952 seperti yang dipinda oleh seksyen 7 Akta Dadah Berbahaya (pindaan) 1975 Akta A293 ialah hukuman mati dalam bentuk pilihan kepada penjara seumur hidup. Tetapi selepas pindaan dibuat oleh seksyen 14 Akta Dadah Berbahaya (Pindaan) 1983 Akta A533, hukuman mati di dalam seksyen 39B(2) Ordinan Dadah Berbahaya 1952 seperti yang dipinda oleh seksyen 7 Akta Dadah Berbahaya (Pindaan) 1975 Akta A293 menjadi hukuman mandatori.

Di antara faktor yang menyebabkan pemerintah Malaysia menjatuhkan hukuman mati mandatori ke atas pengedar dadah berbahaya adalah seperti berikut:
(a) Kerajaan Malaysia telah mengganggap masalah dadah sebagai musuh utama negara yang dikira lebih merbahaya daripada komunis. Dadah boleh meruntuhkan masyarakat, hubungan keluarga, melumpuhkan ekonomi dan menghapuskan agama, menghancurkan negara dan melenyapkan bangsa dan negara.

(b) Negara Malaysia sedang menghadapi wabak penagihan dadah yang serius yang menjadi sasaran utama ialah golongan muda sebagai harapan bangsa dan negara pada masa depan. Bahkan wabak ini telah menjalar di kalangan anggota keselamatan dan kakitangan awam yang ditugaskan untuk menjaga keselamatan dan menguruskan pentadbiran negara. Kesannya ialah hilang kecekapan, terdedah kepada risiko rasuah dan penyelewengan, rahsia negara tidak selamat dan membuka peluang kepada musuh.

(c) Dadah menimbulkan pelbagai perbuatan jenayah dan maksiat lainnya seperti perompakan, pencurian, pemerasan, pembunuhan yang pada akhirnya mengancam ketenteraman dan keselamatan negara.

(d) Pengedar dadah merupakan manusia kejam yang membunuh dan menyiksa penagih dadah dalam jangka panjang. Mereka hanya mementingkan wang atas penderitaan orang lain. Maka adalah wajar sebagai pembunuh, mereka dibunuh pula.

(e) Bahawa dengan menetapkan hukuman mati mandatori pada tahun 1983, bertujuan menghapuskan ketidakadilan dalam menjatuhkan hukuman yang sebelumnya iaitu pilihan antara hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebat. Hukuman mandatori sebagai alternatif adalah samarata.

(f) Jika hukuman mati masih menjadi pilihan kepada hukuman penjara seumur hidup, ada kebarangkalian hakim lebih cenderung untuk memilih hukuman penjara seumur hidup. Ini menyebabkan gejala pengedaran dadah terus berleluasa kerana para pengedar masih memperjudikan nasib mereka.

Penulis mencadangkan agar pengihan dan pegambilan dadah juga dianggap sebagai satu kesalahan dan perlu dihukum. Sudah tiba masanya untuk menilai kembali tanggapan bahawa penagihan adalah satu penyakit dan tidak dianggap sebagai satu kesalahan. Penagihan atau ketagihan itu sendiri adalah salah satu bukti dan kesan kepada penyalahgunaan dadah dan pengambilan dadah yang diharamkan oleh Syarak seperti minum arak. Dengan itu penagih dadah mestilah dipersalahkan dan mestilah dihukum.

Assoc. Professor Dr. Azman bin Mohd Noor Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh, Univeristi Islam Antarabangsa. Email: azzmannor@yahoo.co.uk.

Comments

comments