Hukum bermain kutu

Soalan: Apa hukum kami bermain kutu? Gambarannya adalah seperti berikut: “Kami 10 orang peserta sebenarnya menabung dengan membuat kutipan bulanan sebanyak RM100. Dalam tempoh 10 bulan setiap orang akan mermperolehi simpanan sebanyak Rm 1000 seorang. Diadakan cabutan siapa yang menerima dahulu. ”

Jawapan:

Menurut AKTA 28 AKTA (LARANGAN) KUMPULAN WANG KUTU 1971 , ia ditafsirkan sebagai :

 “kumpulan wang kutu” ertinya rancangan atau perkiraan yang dikenali dengan berbagai-bagai nama sepeti kutu, cheetu, chit fund, hwei, tontine atau sebagainya yang menurutnya peserta-pesertanya membayar yuran berkala atau selainnya kepada suatu kumpulan wang bersama dan kumpulan wang bersama itu dijual atau dibayar kepada peserta-peserta dengan jalan lelong, tender, tawaran, undi atau selainnya dan termasuklah apa-apa rancangan atau perkiraan daripada berbagai-bagai jenis seperti kutu, cheetu, chit fund, hwei atau tontine

 Seksyen 3. Salah di sisi undang-undang menjalankan perniagaan menganjurkan wang kutu.

Maka adalah salah di sisi undang-undang bagi sesiapa menjalankan perniagaan menganjurkan wang kutu dan seseorang yang menjalankan perniagaan itu adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Larangan dari segi undang undang adalah apabila ia dilakukan secara komersial dan cabutan bertuah atau dalam bentuk perniagaan. Ia juga munkin ada kaitan dengan mengabil deposit secara tidak berlesen ataupun boleh juga dikaitkan dengan unsur perjudian. Adapun apabila dilakukan secara amalan uruf masyarakat melalui pakatan atau persetujuan, tidak melibatkan cabutan bertuah, tidak melibatkan riba, bukan secara komersial, menurut Shariah adalah seperti berikut:  

Bermain kutu adalah amalan sebahagian masyarakat Islam khasnya wanita di Timur Tengah (dipanggul “Jumu’iyyah) , Afrika (di Nigeria ia dipanggil “adashi”dan Malaysia khasnya di Pantai Timur. Isu Shariah ialah mensyaratkan hutang dibalas dengan hutang iaitu “aqridni uqriduka”, yang bereti: “Bagi hutang kepada saya, saya akan bagi hutang pada kamu”. Kebanyak Fuqaha tidak membenarkan hutang bersyarat sebegini kerana ada unsur mengambil manfaat dari hutang.

Perlu juga dipertimbangkan, manfaat daripada hutang yang diharamkan ialah manfaat yang  dikhususkan kepada pemberi hutang (lender). Adapun manfaat kepada peminjam, ia diharuskan. Dalam kontek kutu, semua ahli akan memperolehi manfaat dan tidak disyaratkan siapa yang dapat dahulu

Mazhab Maliki pula membenarkan mewaqafkan duit secara bertempoh melalui dana waqaf yang menyediakan khidmat pinjaman hutang kepada ahli/sesiapa yang memerlukan. Dalam konteks kutu, seolah olah duit simpanan bulanan dikumpul kemudian diberi pinjam kepada ahli secara bergilir.

Berdasarkan pandangan Mazhab Maliki yang membenarkan berhutang dari waqaf, dan konsep kerjasama, persepakatan dan persetujuan di antara ahli peserta kutu, (bukannya hubungan antara dua pihak) tanpa melibatkan bayaran riba, atau apa apa skim pelaburan, saya berpandangan bahawa ia adalah harus. Tetapi, konteks undang-undang perlu dipertimbangkan.

Wallahua’lam

Comments

comments