Hukum menukar baucer buku dengan wang tunai secara diskaun

bb1m

Soalan: Apa hukum saya menukar baucer buku yang bernilai RM250 dengan wang tunai sebanyak RM200?

Jawapan: Pemberian baucer oleh kerajaan untuk membeli buku sepatutnya digunakan bagi tujuan membeli buku.

Adapun hukum pertukaran baucer dengan wang tunai pada nilai diskaun, maka ia boleh melibatkan hukum riba. Ini kerana, syarat utama pertukaran duit dengan duit ialah; pertama: Pada nilai yang sama. Kedua: Secara tunai (taqabud). Ia melibatkan riba pada pertukaran duit dengan duit di dalam matawang yang sama pada nilai yang berbeza (secara diskaun). Baucer buku adalah alat tukar berperanan seperti matawang walaupun penggunaannya terhad kepada pembelian buku. Ini kerana penjual buku boleh mendapatkan nilai yang sama dalam Ringgit ketika membuat tuntutan semula. Penjual buku tidak akan menerima bayaran dengan baucer sekiranya tidak dapat ditebus pada nilai sebagaimana yang tertera pada baucer tersebut. Dengan itu baucer buku tersebut boleh dianggap hampir sama dengan matawang/alat tukar walaupun penggunaannya adalah terhad untuk transaksi pembelian buku dan alat tulis. Oleh kerana ia borkongsi ‘illah yang sama iaitu sebagai alat tukar (al-thaman), maka ia tidak boleh ditukar dengan tunai kecuali pada nilai yang sama. Sekiranya ditukar pada nilai yang berlainan maka ia adalah riba.

Kalau tidak dianggap sama dengan matawang sekalipun, ia boleh dianggap sama seperti surat berharga atau surat hutang. Dengan itu hukum menukarnya dengan wang tunai mestilah pada nilai yang sama. Sekiranya ditukar dengan harga diskaun, ia akan menimbulkan maslah riba. Ia adalah bay’ al-dayn yang dilarang kerana melibatkan riba. Ia adalah sama dengan jualan secara diskaun cek individu atau cek bank, surat hutang, debt securities, bonds, commercial papers, bill of exchange, letter of credit, acceptance bill, bank’s guarantee dll yang dipertikaikan oleh kebanyakan ulama kontemporari kerana masalah riba (dengan menjualnya dengan harga diskaun). Jualan baucer atau surat hutang pada harga diskaun dengan barangan/komoditi adalah dibenarkan.

Di antara alternatif: Digunakan baucer tersebut untuk membeli buku, kemudian dijual buku tersebut (sebaik baiknya setelah membacanya) kepada pihak ke tiga. Tidak boleh dijual balik kepada penjual buku yang sama dengan harga yang lebih murah untuk mendapatkan tunai kerana ia adalah bay’ inah yang dilarang.Begitu juga jualan semula kepapa penjual buku pada nilai yang sama untuk mendapatkan tunai, ia adalah dilarang kerana mengambil hukum bay’al-wafa.

Bacaan lanjutan:

http://drazman.net/2014/03/bolehkan-mengambil-upah-bagi-menukar-baucer-buku-dengan-wang-tunai-secara-diskaun/

http://drazman.net/2013/03/masalah-riba-pada-pertukaran-baucar-buku-1-malaysia-bb1m/

Comments

comments