Zakat KWSP/EPF dan Golden Handshake

epf

Soalan: Apa beza di antara cara kiraan zakat KWSP/EPF dengan Golden Handshake?

Jawapan: Wang simpanan KWSP/EPF adalah duit gaji pekerja yang dipotong setiap bulan dan dimasukkan ke dalam akaun sendiri di KWSP. Sumbangan daripada majikan ke dalam akaun tersebut sebagaimana yang tertera di dalam Akta KWSP juga boleh dianggap sebagai gaji kepada pekerja. Dengan itu pemilikannya adalah sah, dari setiap pemotongan bulanan. Cuma oleh kerana tidak dibenarkan pengeluarannya kecuali untuk pembelian rumah, atau sebab sebab lain sehinggalah bersara, maka pemilikan tersebut boleh dianggap sebagai tidak sempurna. Ini termasuk dalam golongan “mal al-dimar” iaitu harta yang tuannya tidak bebas berurusan dengannya (milkiyyah naqisah) seperti harta yang dirampas, dicuri, hilang, hutang yang dinafikan dll.

Pendapat fiqh yang dipilih dalam kiraan zakat ialah pendapat Mazhab Maliki iaitu wajib berzakat hanya bagi tempoh setahun sahaja walaupun sudah berkali kali genap haul. Apabila dikeluarkan wang simpanan tersebut, perlulah dizakatkan dengan segera sebanyak 2.5% dari jumlah keseluruhan. Cara yang sama juga dilakukan bagi pengeluaran KWSP sekiranya pencarum meninggal dunia, sebelum diagihkan simpanan tersebut mengikut hukum faraid. Bagi pengeluaran awal sebahagian wang KWSP untuk pembelian rumah atau sebab sebab lain, cara kiraannya sama dan juga mesti disegerakan seumpama qada bagi tahun tahun yang lepas. Sekiranya jumlahnya kurang dari nisab dan jumlah keseluruhan yang tersimpan kurang dari nisab, maka boleh dicampur dengan wang simpanan lain untuk kiraan zakat pada tahun itu.

Ini berbeza dengan golden handshake. Ia adalah anugerah tamat pekerjaan yang diberikan oleh pihak kerajaan atau majikan ketika persaraan setelah lama berkhidmat. Ia belum dimiliki pada tahun tahun sebelumnya. Ia hanya wajib dizakatkan setelah genap setahun setelah ditolak hutang sekiranya masih ada wang berbaki yang mencukupi nisab. Dengan kata lain ia dianggap sebagai mal mustafad atau harta perolehan pada tahun tersebut.

Comments

comments