Jual Beli Emas Secara ETA/Bay’ al-Salam Adalah Riba

Soalan jual beli emas secara ETA dan bay’ al-salam

Saya ada belajar berkenaan bay’ al-salam iaitu kita menempah/membeli sesuatu barang dengan membuat kesemua bayaran terlebih dahulu, dan barang yang ditempah akan dihantarkan kemudian. Bolehkah dilaksanakan konsep ini pada pembelian emas wafer, pamp suisse, jonkong dan lain lain bentuk? Inilah jualan secara ETA.

Jawapan

Para ulama bersepakat bahawa emas tidak boleh dijual beli secara tangguh. Penangguhan boleh berlaku samada pada bayaran harga emas seperti bayaran ansuran atau pada penangguhan penyerahan emas yang dibeli. Bay’ al-salam adalah satu transaksi yang dibenarkan oleh Sharak bagi pembelian apa apa barang keperluan seperti beras, gula, kayu dll selain daripada emas, perak dan matawang. Ini kerana urusan jual beli emas, perak dan matawang mestilah memenui syarat2 tertentu di antaranya ialah ia mestilah dilakukan secara tunai, serah menyerah kedua dua barang pertukaran dalam majlis aqad tanpa sebarang penangguhan.   

Larangan Jual beli emas secara bertangguh adalah larangan kepada jual beli emas secara bay’ al salam kerana ia adalah riba al-buyu‘. Di antara hadith hadith Rasulullah yang sahih berkenaan dengan riba al-buyu’ ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ubadah bin al- Samit seperti berikut:

—قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ، وَالْفِضَّةُ بِالْفِضَّةِ، وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ، وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ، وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ، وَالْمِلْحُ بِالْمِلْحِ، مِثْلًا بِمِثْلٍ، سَوَاءً بِسَوَاءٍ، يَدًا بِيَدٍ، فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الْأَصْنَافُ، فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ، إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ»  مسلم

“Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, garam dengan garam (ditukarkan) sesama jenis, pada kadar yang sama, secara tunai (spot), sekiranya berlainan jenis, maka jual belilah sesuka hatimu selama mana ia adalah pertukaran tunai.” – (Muslim, Abu Daud, al-Nasai, dan Ahmad)

Hadith ini menjelaskaan hukum jual beli/pertukaran barang barang ribawi. Hadith yang sama tidak meletakkan apa apa sharat bagi jual beli barang barang biasa yang bukan ribawi dengan ribawi seperti membeli basikal dengan duit kertas, ataupun ribawi dengan ribawi lain yang berlainan ‘illah seperti membeli beras degan menggunakan matawang. Ia boleh dilakukan secara tunai, bayaran tangguh, atau bayar dahulu terima kemudian seperti bay’ al-salam. Adapun pertukaran barang ribawi yang belainan jenis, tetapi berkongsi ‘illah yang sama seperti gandum dengan kurma (‘illahnya adalah makanan asasi) atau emas dengan perak (‘illahnya adalah matawang), Ringgit dengan USD, maka ia mestilah dilakukan secara tunai, dan taqabud/pertukaran tangan ke tangan dalam majlis aqad, tidak boleh ada penangguhan pada bayaran atau serahan.

Di antara syarat utama jual beli al-salam ialah, barang yang dibeli  akan diserahkan pada masa hadapan, mestilah diketahui dengan spesifikasi yang jelas, tarikh serahan dan bayaran mestilah dibuat sepenuhnya pada waktu tempahan. Jual beli emas secara ETA, melibatkan bayaran penuh atau hampir penuh kepada harga emas, dan emas akan diserahkan secara bertangguh. Bayaran yang dibuat bukanlah booking fee bagi tempahan, tetapi dikira bayaran harga emas yang didahulukan. Akad jual beli sudah berlaku dan mengikat/binding. Ini yang menimbulkan isu Shariah apabila barang yang dibeli bertangguh serahan adalah emas. Ulama bersepakat bahawa jual beli emas dengan cara bay’ al-salam adalah haram kerana berlaku riba al-buyu’ yang dilarang oleh Rasulullah.

Cuba perhatikan lafaz hadis di atas, “Sekiranya berlainan jenis, maka jual belilah sesuka hati kamu selama mana ia adalah pertukaran secara tunai” (lani/tangan degan tangan di dalam majlis aqad).

Al -Imam al-Nawawi menegaskan bahawa secara sepakat ulama mazhab Shafie melarang untuk membeli dinar emas dengan menggunakan dirham perak dan di sebaliknya iaitu membeli dirham perak dengan menggunakan dinar emas dengan cara  bay’ al-salam yang bertangguh.

اتفق أصحابنا على أنه لا يجوز إسلام الدراهم في الدنانير، ولا عكسه سلما مؤجلا. وفي الحال وجهان محكيان في «البيان» وغيره. الأصح المنصوص في «الأم» في مواضع: أنه لا يصح. والثاني: يصح بشرط قبضهما في المجلس، قاله القاضي أبو الطيب. والله أعلم. روضة الطالبين 4/27

Maksud: “Ulama mazhab Shafie bersepakat bahawa tidak harus bay’ al-salam menggunakan dirham perak untuk mendapatkan emas (pada masa hadapan), dan begitulah juga sebaliknya iaitu menggunakan dirham perak untuk membeli dinar emas secara jual beli al-salam yang bertangguh..”

Perlu diingat, dinar emas dan dirham perak adalah matawang pada zaman dahulu. Pada zaman sekarang duit kertas adalah duit yang dipakai secara meluas untuk bayaran semua perkara, wajib zakat padanya dan berlaku riba padanya, dan tidak boleh dijual beli matawang secara bay’ al salam. Inilah pandangan majma Fiqhi,majlis2 fatwa di seluruh dunia.

Kitab Fiqh Manhaji, iaitu kitab fiqah Mazhab Shafie yang diiktiraf di seluruh dunia pada zaman sekarang  dengan jelas menyebut bahawa duit kertas mengabil hukum emas dan perak sebagai matawang, menjadi barang ribawi  seperti emas dan perak:

« فكل ما يجري التعامل به من الأثمان ويقوم مقام الذهب والفضة كالعملات الرائجة الآن، يعتبر مالا ربويا ويجري فيه الربا إلحاقا بالذهب والفضة»

الفقه المنهجي ، 6/67

Maksud: Setiap apa saja yang digunakan sebagai duit dan berfungsi seperti emas dan perak seperti matawang yang digunakan secara meluas sekarang adalah dianggap sebagai barang ribawi, berlaku padanya riba mengambil hukum emas dan perak.

Boleh dirumuskan, bahawa jual beli emas (bukan barang kemas) secara ETA atau bay’ al-salam adalah transaksi jual beli emas yang melibatkan riba. Ia adalah melanggar perintah Rasululllah SAW pada jual beli emas yang mesti dilakukan secara tunai, pertukaran emas dan duit di dalam majlis aqad, tanpa penangguhan.

Wallahua’alam.

Boleh juga dirujuk, Mawsu’ah fiqhiyyah Kuwaitiyyah, vol 25, pg.199, yang menyebut, disyaratkan pada bay’ al-salam, tidak boleh melibatkan pertukaran  dua benda (di antara bayaran dan barang yang ditempah) yang berkongsi ‘illah riba yang sama. Emas, perak dan duit kertas walaupun berlainan jenis, tetap berkongsi ‘illah yang sama iaitu al-thaman/digunakan sebagai duit. Teks asalnya seperti di bawah:

 ب – وَيُشْتَرَطُ لِصِحَّتِهِ أَلا يَكُونَ الْبَدَلانِ مَالَيْنِ يَتَحَقَّقُ فِي سَلَمِ أَحَدِهِمَا بِالآخَرِ رِبَا

النَّسِيئَةِ ، وَذَلِكَ بِأَلا يَجْمَعَ الْبَدَلَيْنِ أَحَدُ وَصْفَيْ عِلَّةِ رِبَا الْفَضْلِ ، حَيْثُ إِنَّ الْمُسْلَمَ فِيهِ مُؤَجَّلٌ فِي الذِّمَّةِ ، فَإِذَا جَمَعَهُ مَعَ رَأْسِ الْمَالِ أَحَدُ وَصْفَيْ عِلَّةِ رِبَا الْفَضْلِ ، تَحَقَّقَ رِبَا النَّسَاءِ فِيهِ ، وَكَانَ فَاسِدًا بِاتِّفَاقِ الْفُقَهَاءِ  وَذَلِكَ لِمَا وَرَدَ عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ – رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ – أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ” الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ ، وَالْفِضَّةُ بِالْفِضَّةِ ، وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ ، وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ ، وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ ، وَالْمِلْحُ بِالْمِلْحِ ، مِثْلا بِمِثْلٍ ، سَوَاءً بِسَوَاءٍ ، يَدًا بِيَدٍ ، فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الأَصْنَافُ فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ

Comments

comments