Keuntungan tetap dalam skim jual beli balik emas bertangguh adalah RIBA (2x)

Ada satu soalan dari seorang hamba Allah. Menjanjikan pulangan atau keuntungan yang tetap dalam pelaburan seperti mudharabah dan wakalah adalah dilarang kerana ia berubah menjadi hutang (qard), dan bayaran lebih samada dipanggil faedah, keuntungan atau dividen daripada pinjaman/hutang/qard adalah riba. Bagaimana pula kalau saya ikuti skim jual beli emas. Contohnya saya beli emas 100gram dgn harga 13k kemudian penjual emas beli balik emas 100gram tersebut secara tangguh sebanyak 20k samada secara ansuran bulanan sebanyak 2k sebulan selama 10 bulan atau 20k lum sum selepas 10 bulan. Ramai yang mendakwa ia bukan pelaburan tetapi jual beli.

Jawapan
Walaupun tuan tak guna perkataan pelaburan, walaupun suka sama suka dalam jual beli, ia adalah transaksi yang tidak patuh Shariah kerana:
1. Membeli dengan syarat menjual balik dgn harga yang lebih tinggi secara ansuran atau menjual dengan syarat membeli balik dengan harga yang lebih tinggi secara ansuran atau tangguh adalah bay’ al inah yang dilarang. Ia umpama memberi hutang 13k dan mendapat bayaran balik 20k. Bayaran hutang yg lebih adalah riba.

Jual dan beli balik apa apa barang dibenarkan sekiranya ia tidak bersharat dan tidak ada rancangan untuk membuat helah pinjaman dan pulangan yang lebih yang menjadikannya RIBA. Tetapi sekiranya ia melibatkan emas, perak dan matawang ia tidak boleh dijual beli secara hutang pada jual beli pertama atau kedua.

2. Emas tidak boleh dijual beli secara tangguh. Sekiranya emas dijual secara tangguh, ia adalah riba. Ia adalah riba al buyu’ (riba dalam jual beli barangan riba). Hukum ini adalah ijma ulama berdasarkan hadith2 yang sahih.

Dengan itu transakasi tersebut melibatkan 2 kali riba, riba pada helah pinjaman berfaedah yang menarik menggunakan helah bay’ al-inah, dan kedua riba pada jual beli emas secara bertangguh.

Comments

comments