Menawarkan tempahan barang kemas emas dengan diskaun, jual semula atau restok

Saya mohon pandangan dan pendapat Prof mengenai cara yang dilakukan seperti dibawah, adakah ia mematuhi syarak? 
 
MENAWARKAN BARANG KEMAS BERDISKAUN – BKB [ EMAS 916 ] (Termasuk Padu & Perhiasan).
HARGA JUAL : RM170/gm
HARGA DISKAUN RM: 12/gm
Beli barang kemas 916 dengan harga 170/gm, selepas 30 hari anda ada 3 pilihan:
1. Ambil Barang & Diskaun RM12/gm. Jual beli tamat.
2. Jual semula / Buyback pada RM170/gm & Diskaun RM12/gm. Jual beli tamat.
3. Restok semula & ambil Diskaun RM12/gm.

Jawapan

Sesetengah ulama yang membenarkan jual beli barang kemas secara bertangguh berhujjah bahawa ia bukan lagi dianggap sebagai thaman (matawang), bukan lagi dikenakan zakat, (seperti yang disebut oleh Ibn Qayyim di dalam ‘Alam al-Muwaqqi’in), jual beli barang kemas boleh dilakukan secara ansuran atau membayar dahulu wang tempahan sebahagian atau sepenuhnya, dan menerima barang kemas kemudian.

Adapun pakej jual beli emas yang ditawarkan  di atas, menurut panadang ulama yang membenarkannya, (dibenarkan oleh parameter pelaburan emas Jakim), ia bebas dari riba al-buyu’ pada jual beli emas secara bertangguh, kerana barang kemas emas tidak dianggap sebagai thaman.

Tetapi, pakej ini masih bermasalah riba.

Bagi pilihan pertama, diskaun hanya diberikan kerana bayaran penuh dibuat seawal sebulan daripada serahan, diskaun hanya diberikan selepas sebulan. Di sini ada shubhah riba, kerana bayaran harga sebenar adalah RM12/gm kurang daripada bayaran penuh. Seolah olah pembeli memberi pinjaman kepada penjual. Ini bercanggahan dengan hadtih Rasulullah SAW yang melarang gabungan di antara jual beli dan memberi pinjaman. Jual beli disyaratkan dengan pinjaman. Ini kerana, salah seorang/sebelah pihak berkontrak akan mengambil manfaat daripada hutang tersebut. Alternatifnya ialah diberikan diskaun awal awal?

 

Pilihan kedua: Jual semula dengan harga RM170/gram, bersama Diskaun RM12/gm.

Jual beli semula menjadikan kontrak ini bay’ al-inah, lebih lebih lagi pada harga yang berbeza. Harga berbeza kerana ada diskaun. Penjual sudah memperolehi faedah daripada penangguhan bayaran. The essence of riba is time value of money. Pertambahan nilai disebabkan penangguhan masa. Helah yang dibuat di sini ialah dengan diberikan diskaun tetapi diskaun hanya akan diperolehi selepas tempoh tertentu. Walaupun ia tidak melibatkan emas tulen, janji memberi manfaat dalam bentuk diskaun atau beli balik dengan harga face value, secara tidak langsung menjajikan pulangan yang tetap, bersama dengan keuntungan daripada perbezaan harga hasil daripada membayar duit lebih awal sebulan.   Alternatifnya ialah diskaun diberikan awal2.

Pilihan ketiga: Restok semula & ambil Diskaun RM12/gm

Ini lebih baik, lebih jelas, untuk menunjukkan ada pulangan keuntungan daripada duit tempahan barang kemas tadi. lebih mudah untuk kesan riba. Ia juga bermasalah, kerana diskaun hanya diberikan selepas tempoh sebulan, ia adalah ganjaran kepada bayaran yang dibuat awal sebulan.

Dalam ketiga tiga keadaan di atas, penjual emas adalah berhutang dengan pembeli, kerana dia sudah mengambil bayaran, tetapi belum menyerahkan barangan yang dibeli. Tanbahan lagi, sekiranya jual beli tidak diteruskan kerana tidak berjaya menyerahkan barang kemas yang dijual, maka penjual wajib membayar balik bayaran harga jualan yang sudah dibuat oleh pembeli awal awal dahulu.  Kaedah feqah menyebut;

“كل قرض جر نفعا فهو ربا”

“Setiap pinjaman yang mendatangkan faedah kepada pemiutang adalah riba”

Cadangan penyelesaian: Hentikan skim skim atau program jual beli sebegini. Buatlah jual beli biasa yang patuh Shariah.

Comments

comments