Pelaburan Emas Dengan Cara Mudarabah Tiruan

Soalan: Minta pandangan ustaz, berkenaan pakej pelaburan di bawah:

“Program berkonsepkan Mudharabah (Perkongsian Keuntungan)

Entry:-
1) Pamp Suisse 100g, atau;
2) Pembelian Readystock  
Serahkan Pamp anda kepada kami, kami akan niagakan Pamp anda.
ANGGARAN pembahagian keuntungan:-
Bulan 1 – RM1500 ~ RM2500
Bulan 2 – RM1500 ~ RM2500
Bulan 3 – RM1500 ~ RM2500 setiap bulan sampai bulan 12.

Bulan 12 – Pamp Suisse 100g – 300g
Tamat Program.
Tiada jaminan keuntungan tetap perniagaan di dalam Islam. Kita divide keuntungan based on Profit Sharing Ratio (PSR) sekitar 50:50 ye.”

Jawapan

Sebenarnya emas boleh dijadikan modal mudarabah, tetapi perlu dinyatakan dengan jelas bagaimana. Syarat sah mudarabah pada zaman dahulu sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Nawawi dan lain lain ulama mazhab Shafie ialah matawang yang induk pada waktu itu iaitu dinar emas atau dirham perak tulen, tidak boleh guna fulus atau lain lain. Dalam kontek sekarang duit kertas yang sah boleh dijadikan modal mudarabah. Ini kerana modal mudarabah mestilah duit yang sah, yang akan digunakan untuk membeli barangan dagangan untuk diniagakan bagi mendapat keuntungan. Duit tidak akan beranak duit. Duit tidak akan bertambah sendiri. Kalau berlaku juga pertambahan, ia adalah dengan cara riba yang haram. Duit hanya akan bertambah dengan bertukar menjadi barang, kemudian dijual semula pada harga yang lebih. Keuntungan daripada jualan itulah cara yang dibenarkan oleh Shara’ untuk mendapatkan keuntungan dan menambahkan pendapatan. Keuntungan itulah yang akan dikongsikan di antara pelabur (rab al-mal) dan mudarib berdasarkan nisbah kadar keuntungan yang dipersetujui contohnya 50:50, 40;40. Keuntungan tidak boleh dalam bentuk pulangan yang dijaminkan samada dalam bentuk peratus 5% atau jumlah cont ohnya RM200, kerana ini adalah ciri ciri utama pinjaman berfaedah/riba.

Modal mudarabah sepatutnya digunakan untuk membeli barangan lain. Adapun menentukan (ta’yin) barang tertentu seperti 100g pamp suisse, atau apa apa barangan lain sebagai modal dan juga barangan yang akan dijual, ia akan menimbulkan isu Shariah menurut pandangan kebanyakan ulama.

Dalam struktur program di atas, ia adalah mudharabah yang bermasalah. Berapa kali, tuan jual Pampp Suisse yang sama, sehingga boleh bagi untung tiap tiap bulan? Sedangkan subject matter pelaburan hanyalah satu keping pamp suisse.

Dengan itu, sekiranya mahu juga dijadikan barang yang akan dijual beli dan diniagakan (subject matter of mudarabah) perlu jelas. Sekiranya ia melibatkan emas, jual beli/pertukaran emas 100g pamp suisse, dengan emas lain, ia mestilah dilakukan pada berat yang sama (at par), tunai dan taqabud (tangan ke tangan dalam majlis aqad). Ia perlu patuh kepada peraturan jual beli emas dengan emas. Sekiranya ia melibatkan jual beli emas dengan matawang kertas atau perak, maka perlu dilakukan secara tunai dan taqabud.

Dalam struktur di atas, bulan 12 pula ada jaminan pulangan balik modal dan tambahan nilai emas. Mudarabah yang dijamin modal dan keuntungan, walaupun berubah ubah adalah pinjaman berfaedah, intereste bearing loan. Dengan itu, strukur pelaburan di atas tidak sepatutnya dipanggil mudarabah. Ia bukan mudarabah yang betul. Ia hanyalah tiruan dan bubuh nama sahaja. Ia tidak patuh Shariah.

Cadangan:  Peraturan dan syarat syarat mudarabah juga perlu dipelajari, difahami dan dipatuhi sepenuhnya. Sebaik baiknya rujuklah pakar-pakar Shariah dalam bidang mu’amalat untuk membuat produk pelaburan berdasarkan mudarabah. Ia tidak boleh pakai tiru tiru, try an error atau sekadar dakwaan.

Wallahua’lam

 

Comments

comments