Pelaburan Emas Luar Negara +MLM

salam 
Persoalan pelaburan emas juga ni..tapi skim cepat kaya versi MLM yang xxgoldex yang berpusat di luar negara. Yang ni kita labur rm2600@540 euro kononnya untuk 15g emas dan kita perlu cari 2 orang bawah kita baru kita dapat bonus dapat pulangan rm28k.kalo tak dapat cr org dan nak balik duit maka hangus 40euro..dia pulangkan 500 euro je..masalahnya ramai juga ustaz2 yg join dan kaji fatwa bagi kata halal. kalau halal nak juga join.mohon pencerahan dari tuan.terimakasih sangat.

 

Jawapan

Terdapat beberapa persoalan dan isu Shariah:

Pertamanya, tidak jelas aqad yang digunakan. RM2600 sebagai modal atau yuran keahlian. Kalau modal, apakah akad pelaburan yang digunakan seperti mudharabah atau wakalah bi al-istihmar?

Kedua, yuran keahlian yang terlalu tinggi. Kebanyakan ulama yang membenarkan MLM tidak membenarkan pengenaan yuran keahlian yang tinggi , bahkan ada yang tidak membenarkan langsung pengenaan yuran keahlian. Ini kerana itulah cara bagaimana penganjur memperolehi pendapatan di atas angin tanpa sebarang pertukaran yang sepatutnya. Ia adalah helah mudah untuk memperolehi pendapatan walaupun tidak berlaku jual beli ke atas barangan yang dijual. Bahkan ada yang tidak mensyaratkan langsung membeli barangan yang dijual.

Di dalam aqad mu’awadah/pertukaran, pihak berkontrak berhak mendapatkan tukaran seadilnya. Dengan itu bayaran yuran keahlian mestilah jelas tujuannya. Sekiranya ia bertujuan untuk mengadakan latihan, ia mestilah sesuai dan berpatutan dengan kos latihan.

Ketiga, adakah emas diserahkan? Lebih teruk sekiranya, RM2600 itu termasuk harga pembelian emas. Tak patuh Shariah dari segi sharat jual beli emas yang perlu serah menyerah (taqabud tangan ke tangan), lebih teruk lagi apabila emas tidak diserahkan langsung.

Keempat, disyaratkan mesti mendapatkan ahli baru, barulah akan mendapat bonus. Ini masih boleh dipertimbangkan. Tetapi, kalau tak dapat 2 ahli baru, akan menyebabkan kita kehilangan 40 euro. Ini adalah unsur perjudian yang jelas. Ia adalah haram.

Ramai ustaz yang join bukan alasan yang boleh diterima, kerana lebih ramai para ilmuan dan ustaz yang tidak join. Para ustaz bukan maksum, bukan juga tahu semua bidang hukum. Dengan itu jangan mudah terpengaruh. Pastikan dahulu ia tidak bercanggah dengan Shariah.  

Pakej pelaburan emas yang ditawarkan seperti di atas adalah bermasalah dari segi kepatuhan kepada Shariah dan tidak patuh garis panduan MLM yang dikeluarkan oleh JAKIM.

garis_panduan_mlm_20111

Comments

comments