Pembiayaan pembelian emas secara AITAB/Sewa yang Berkakhir Dengan Hibah

Sebagaimana dimaklumi emas, seperti juga perak dan matawang kertas adalah item ribawi yang berkongsi ‘illah yang sama iaitu al-thaman atau sebagai duit. Dengan itu emas tidak boleh dibeli secara bertangguh serahan atau bayaran. Adapun barang kemas emas, ada pendapat seperti pandangan Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim dan lain lain menganggap barang kemas emas yang melibatkan pengilangan, pembuatan, tepaan adalah sudah berubah statusnya daripada al-thaman kepada barang perhiasan. Namun Jumhur ulama masih berpendapat tidak boleh jual beli barang kemas emas secara bertangguh.

Perlu juga diingatkan bahawa duit tidak boleh disewa, ini kerana bayaran sewaan duit adalah sebenarnya bayaran riba/interest. Emas pada asalnya adalah duit, mempunyai nilai pada zatnya. Dengan itu, sewaan emas jongkong bukan bagi tujuan perhiasan wanita atau tujuan lain yang dibenarkan seperti untuk dijadikan pameran, pengukur berat, adalah haram, kerana ia adalah riba. Seolah olah meminjamkan emas dan mengenakan bayaran yang lebih. Kalau dijual emas yang disewa, ia adalah satu kesalahan, dan penyewa dianggap berhutang kerana dia mesti menggantikan emas yang sama nilai kepada pemilik asalnya.

Di antara alternatif kepada pembelian barang kemas emas ialah dengan menggunakan sewaan yang berakhir dengan pemindahan pemilikan kepada penyewa. Mazhab Shafie, Hanafi dan Hanbali membenarkan sewaan emas bagi tujuan perhiasan wanita atau tujuan yang dibenarkan oleh Syarak. Ia tidak boleh disewa bagi tujuan menjadikan perhiasan lelaki. Pembiayaan pembelian emas cara ini dicadangan oleh IBFIM. Syeikh Prof Dr Ali Muhyiddin al-Qurrah Daghi juga mencadangkan cara sebegini sebagai alternatif kepada jualan emas bertangguh khasnya kepada pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan. Pemilik boleh menjanjikan hibah bersayarat, iaitu penyewa akan dihibahkan barang kemas yang disewa sekiranya beliau membayar semua sewaan bulanan sehinggalah ke akhir tempoh kontrak sewaan. Beliau mencadangakn alternatif ini sebagaimana beliau pernah membentangkan satu kertas kerja di Majma al-Fiqhi berkenaan dengan produk tersebut. Ini disebut oleh beliau di dalam ceramah beliau, sesi soal jawab di Bank Rakya pada 13 Nov 2014 dan di UIA pada hari Jumaat,  14 November 2014.

Berkenaan dengan cagaran, pemilik yang ingin menyewakan barang kemas, boleh mengambil cagaran daripada penyewa ataupun jaminan penjamin.

Wallahua’lam

Comments

comments