Bencana Banjir dan Hikmah Di Sebaliknya

Negara kita dikejutkan dengan banjir besar. Banjir yang melanda di sebahagian negara kita terutamanya di kawasan Pantai Timur Semenanjung memang meninggalkan duka yang mendalam. Ada yang terpaksa menanggung korban ahli keluarga dan saudara yang hilang dibawa arus deras, dan juga mereka yang kehilangan tempat tinggal dan kerosakkan harta benda terkena air. Namun, selalunya ada hikmah dan pelajaran berharga yang boleh kita ambil dari setiap peristiwa yang terjadi. Boleh dikatakan, musibah banjir tahun ini bagi negeri Kelantan adalah yang terburuk setelah beberapa tahun ke belakang. Kos kerosakan temasuk sekolah, jalan raya, jalan keretapi, pejabat pejabat kerajaan, kedai, rumah kediaman adalah berbilion Ringgit.

Namun, sebagai orang yang beriman, kita perlu berfikir dengan positif, di sebalik bencana alam ini, ada beberapa hikmah.  Di antaranya:

1.Ia adalah peringatan tentang kuasa Allah.

Di sebalik  musibah banjir  besar yang berlaku baru-baru ini , sesungguhnya Allah S.W.T  telah menunjukkan sebahagian kecil daripada  kekuasaan-Nya dengan hanya sedikit curahan hujan daripada –Nya kita sudah tidak mampu mengatasi  atasinya. Pada saat itu, Allah S.W.T ingin mempersaksikan betapa lemahnya diri dan kekuasaan manusia dan betapa sangat tergantungnya manusia kepada Allah S.W.T.

 

Maksudnya: “Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa (Al-Quran) adalah benar. Belumkah (ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah) cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?”{surah al-fussilat\ayat53)

2. Ia adalah peringatan tentang Hari Kiamat.

Hari kiamat digambarkan di dalam Al-Quran dengan berlakunya bencana alam dan malapetaka yang besar yang menakutkan seperti bukit bukau yang yang bergerak dan berlanggar, goncangan dan gempa bumi yang dahsyat, letupan dari dalam bumi dan lautan, air laut dengan gelora besar merosakkan bumi, matahari naik di sebelah barat dan lain lain.

 

3. Ujian daripada Allah

Musibah ini juga adalah ujian daripada Allah S.W.T  kepada  mangsa banjir ataupun yang bukan. Kepada  yang tidak kena bencana banjir , mereka juga diuji, Allah mahu uji sifat bertanggungjawab kita terhadap mangsa banjir.  

 

Oleh kerana itu, bagi sesiapa yang terkena musibah atau sekadar menyaksikan musibah banjir yang terjadi, haruslah merenung kembali tuntutan Islam dalam menghadapi musibah, sehingga musibah tersebut mampu diharungi dengan sabar dan syukur. Kita haruslah beriman bahawa setiap musibah yang berlaku adalah ketetapan Allah sehingga wajib menerima ketetapan itu dengan berlapang dada. Sebagaimana firman Allah S.W.T

Mafhumnya :”Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah”.(surah al-hadid\ayat22)

 

4. Ia adalah peluang untuk menambahkan lagi keimanan melalui kesabaran dan mengharapkan pahala daripada Allah bagi yang ditimpa musibah kehilangan harta, kehilangan rumah dan juga ahli keluarga. Ia juga peluang untuk melakukan ibadat sedekah, zakat, kaffarah, wakaf, fidyah dan infaq secara umum.

Di antara hikmah ALLAH S.W.T  menjadikan kenapa hanya segelintir kawasan dilanda banjir dan bukannya seluruh negara. Tersirat besarnya hikmah dalam situasi ini. Apabila keadaan itu berlaku, orang-orang yang berada di kawasan yang tidak dilanda banjir boleh turut membantu mereka yang dilanda musibah. Mungkin dengan cara itulah semangat kerjasama, semangat  kemanusiaan, sikap rendah diri, sikap murah hati dan sebagainya diperkukuhkan.

 

Di dalam sebuah hadith Qudsi yang sahih, Allah berfirman:

رواه مسلم عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: “إن الله تعالى يقول يوم القيامة: يا ابن آدم مرضت فلم تعدني، قال: يا رب! كيف أعودك وأنت رب العالمين؟! قال: أما علمت أن عبدي فلاناً مرض فلم تعده، أما علمت أنك لو عدته لوجدتني عنده؟!، يا ابن آدم، استطعمتك فلم تطعمني، قال: يا رب! وكيف أطعمك وأنت رب العالمين؟! قال: أما علمت أنه استطعمك عبدي فلان فلم تطعمه، أما علمت أنك لو أطعمته لوجدت ذلك عندي، يا ابن آدم، استسقيتك فلم تسقني، قال: يا رب! كيف أسقيك وأنت رب العالمين؟ قال: استسقاك عبدي فلان فلم تسقه، أما إنك لو سقيته وجدت ذلك عندي” ).

Sesungguhnya Allah SWT akan berfirman pada hari kiamat : “Wahai anak Adam, aku sakit tetapi kamu tidak menziarahiku”. Hamba menjawab: “Wahai Tuhan, bagaimana aku menziarahi kamu  sedangkan kamu adalah Tuhan sekalian alam? Allah berkata: “Tidakkah kamu tahu bahawa ada seorang hambaku si fulan sedang sakit tetapi kamu tidak menziarahinya.Tidakkah kamu tahu sekiranya kamu menziarahinya kamu akan menemuiKu bersamanya.Wahai anak Adam aku minta makan daripadamu tetapi kamu tidak memberi makan. Si hamba berkata: “Wahai Tuhan bagaima aku memberi makan kepadaMu sedangkan Engkau adalah Tuhan sekalian alam? Allah menjawab: Tidakkah kamu tahu bahawa seorang hambaku meminta makan daripadamu tetapi kamu tidak memberinya makan. Tidakkah kamu tahu sekiranya kamu memberinya makan kamu akan mendapatinya bersamaKu.Wahai anak Adam aku meminta minum daripadamu tetapi kamu tidak memberikan minuman kepadaku. Hamba berkata wahai Tuhan bagaimana aku memberi minum kepada Mu sedangkan Engkau adalah Tuhan sekalian alam. Allah menjawab: Seorang hambaku meminta minum darimu tetapi kamu tidak memberikan minuman kepadanya. Jikalau kamu memberikannya, kamu akan mendapatinya bersama denganKu.

Comments

comments