Kenapa Para Ulama Qiyaskan Duit Kertas Sama Dengan Emas Sedangkan Emas Ada Interensic Value?

Soalan

Saya masih belum faham kenapa ulama kontemporari anggap duit kertas sebagai barangan ribawi sama seperti emas sedangkan emas mempunyai nilai pada zatnya (intrinsic value), duit kertas hanya ada nilai pada nombor yang tertera, dan kalau dikoyak tidak sah nilainya dan tidak ada harga lagi. Emas pula tetap berharga walau dihancurkan jadi cecair.

 

Jawapan

Perbandingan emas dengan kertas dari segi intrinsic value (nilai pada zatnya), tidak ada yang pertikai. Ulama qiyaskan duit kertas dengan emas dari segi al-thaman iaitu harga/matawanag/duit/alat tukar. Itulah ‘illah musytarakah (‘illah yang dikongsikan) yang boleh didapati di antara kedua duanya. Kalau nak banding emas dan perak pun, kedua duanya ada intrinsic value, tetapi harga perak sudah jauh ketinggalan, ia jauh lebih rendah dari harga emas. Tidak ada ulama pun yang anggap intrinsic value (qimah zatiyyah)  itu sebagai ‘illah. Kalau intrinsic value itu dianggap sebagai ‘illah, kenapa tidak dianggap logam platinum dan kuprum yang jauh lebih mahal sebagai barang ribawi? Begitu juga batu permata atau berlian, kesemuanya bukan ribawi, walaupun mempunayi nilai intrinsic value; boleh dijual beli secara bertangguh bayaran atau serahan.

Menurut ilmu Usul al-Fiqh, ‘Illah bagi sesuatu hukum asal mestilah dikenal pasti melalui ‘tahkik al-manat” iaitu penentuan sandaran/’illah kepada sesuatu hukum. Ia mestilah sifat/kesan yang jelas, konsisten (wasfun zahir mundabit) dan tidak terhad pada hukum/subjek asal sahaja (muta’ddi). Contohnya “mabuk” adalah “illah kepada pengharaman arak, ia juga di dapati pada dadah, candu dan jenis jenisnya. Arak tidak disamakan dengan dadah dari segi bentuk cecair, benda padu, serbuk, asap pil dll, tetapi sifat atau kesan utama yang dikongsikan ialah “memabukkan” bukan bentuknya. Begitulah juga “al-thaman” adalah ‘illah kepada berlakunya riba pada emas, perak dan duit kertas, bukannya dari segi timbangan atau intrinsic value. Berlaku riba sekiranya dibeli emas, perak atau matawang dengan bertangguh serahan atau bayaran. Untuk mengelakkan riba, ia perlu dijual beli secara tunai, serah menyerah dalam majlis aqad.

Tidak ada ulama yang anggap intrinsic value/qimah zatiyyah sebagai “illah kepada berlakunya riba  pada emas dan perak. Perbandingan emas dengan duit kertas dari segi intrinsic value adalah hanya perbandingan biasa seperti membezakan air dengan beras, tidak ada kaitan dengan ilmu qiyas dan penentuan ‘illah dalam Usul al-Fiqh.

Comments

comments