Misteri Banglo Murah Al-Fonso

Soalan

Ada satu sekim membeli rumah Banglo Murah Al-FONSO (bukan nama sebenar) menggunakan bay’ al-salam. Katakan nilai rumah RM220k. Pembeli hanya perlu membayar RM89k untuk menempah rumah yang beharga RM220k tersebut tanpa perlu membayar baki. Pembeli akan menerima hibah bulanan sebanyak RM500 selama 36 bulan. Kalau tak siap dapat balik duit RM89K.

Jawapan

Ia amat mengelirukan. Pertama penggunaan aqad bay’ al-salam dalam pembinaan adalah tidak tepat.  Aqad yang lebih tepat ialah “istisna’”. Kedua kenapa dinyatakan dua harga? Masalah dua harga akan menyebabkan “jahalah” (ketidaktahuan) dan kekeliruan dalam harga. Sekim ini menimbulkan isu dua harga dalam satu transaksi. Walaupun ia adalah hanya satu transaksi jual beli, ia menimbulkan masalah larangan dua jual beli dalam satu yang dilarang oleh Rasulullah SAW.

Sekiranya harga sebenar 220k, tetapi penjual ingin menjual dengan harga yang murah 89k sahaja, hukum asalnya adalah harus, tetapi adakah ia masuk akal. Tidak ada peniaga atau pemaju yang berfikiran waras akan berbuat demikian kerana ia merugikan. Adakah sekim ini betul betul membina dan menjual rumah? Kalau betul demikian modus operandinya, sudah tentu penganjur sekim ini akan rugi. Jadi, jelas kelihatan ada unsur penipuan sekiranya harga sebenar RM220K. Rasulullah SAW bersabada:

(من غشنا ليس منا)

“Sesiapa menipu kami bukan dari kami”

Hukum asal harus menjual rumah dengan harga yang lebih murah menjadi haram kerana ada unsur penipuan.

Atau ia hanya bertujuan meminjam duit, dan membayar hibah, selepas 3 tahun bagi balik modal. Sekiranya ia memang tidak bertujuan membuat rumah, maka duit bayaran tempahan itu dianggap sebagai qard iaitu pinjaman. Mana mana faedah daripada pinjaman adalah riba. Dengan itu, sekiranya ia bertujuan meminjam duit, hibah bulanan RM500 adalah riba.

Tidak ada penjual rumah atau pemaju yang memberi hibah bulanan sedemikian.

Boleh disimpulkan kalau rumah yang dijual tidak pernah disiapkan, maka jelas sekali ia bukan bertujuan untuk menjual rumah bungalow  murah sebenarnya. Kalau ia bukan bertujuan membina rumah, apakah subject matter/mahal al-aqad/benda yang dijual beli? Menjual sesuatu yang tidak ada dilarang oleh Jumhur ulama. Mazhab Maliki yang membenarkannya jual beli barang/sesuatu yang belum ada/ma’dum, meletakkan syarat yang ketat iaitu ia boleh diserahkan (delivarable). Kalau boleh disiapkan sekalipun, ia masih bermasalah kerana ada disebut dua harga. Kalau hanya satu harga sahaja disebut sebagai diskaun kepada harga sebenar 220k, ia masih bermasalah kerana mengandungi unsur penipuan. Ini kerana kemunkinan besar RM220k itu bukan bukan harga sebenar, munkin juga akan digunakan duit pembeli lain untuk menyiapkan rumah. Sekim misteri ini seperti sekim- sekim cepat kaya yang lain walaupun nama tidak sama, tetapi, dengan modus operandi yang sama akan rebah apabila tidak ada pelabur/pembeli baru.

Wallahua’lam

Comments

comments