Pulangan Tetap dan Jaminan Modal Dalam Jual Beli Secara Wakalah Network

 

Soalan
Assalamualaikum. Tuan, saya nak bertanya,kalau pelaburan yang menjamin keuntungan tetap adalah haram mcm mna plk dgn jual beli yg menjamin keuntungan tetap. Contohnya saya beli sejenis barang dalam jumlah yang banyak degan nilai keseluruhan 10ribu..dan saya serahkan barang itu kepada orang lain @ mana2 syarikat jualan utk menjual barang tersebut dengan jaminan setiap bulan saya akan mendapat RM600 selama 12 bulan, dan pada bulan ke 12 modal saya sebanyak 10ribu dikembalikan -(mcm dlm Arba nertwork). Harap tuan dapat jelaskan kepada saya yg amat memerlukan penjelasan.
Jawapan
Persoalan ini melibatkan wakalah. Macam mana kita boleh jamin akan berlaku pembelian atau wakil berjaya menjual kesemua barang dalam tempoh tertentu? Kenapa pula ditetapkan pulangan bulanan, bukannya berdasarkan bilangan barang yang dijual? Memang harga dan keuntungan di dalam jual beli akan ditetapkan tetapi adakah boleh dijamin ia terjual. Ini melibatkan masalah jaminan (dhoman) ke atas wakil ataupun Mudarib yang dilarang oleh Syarak. Kerana ia berubah menjadi seperti aqad pinjaman. Ini kerana  wakil akan menjamin membayar balik modal beserta keuntungan bulanan, sedangkan belum pasti terjual atau tidak.
Persoalan seterusnya, siapa akan beli barang yang sama dengan harga yang lebih tinggi? Adakah ia betul betul terjual atau hanyalah khayalan. Kalau dijual pada harga yang sama, macam mana nak dapat untung?Dengan itu bayaran keuntungan bulanan seperti di atas adalah riba.
Sepatutnya ditentukan upah wakil berapa, dan sepatutnya juga wakil tidak menjamin modal kecuali sekiranya kerugian/kerosakan adalah disebabkan oleh kecuainan, perlanggaran perjanjian, kesilapan secara sengaja yang dilakukan oleh wakil.
 
Ada sesetengah peserta yang sudah mabuk dengan duit dan terlibat dengan skim sebegini dan skim cepat kaya yang lain akan berhujjah bahawa ini adalah hibah, bukannya pulangan tetap.Perlu diingat, istilah hibah bukanlah penyelesaian kepada riba, riba tetap riba walaupun ditukar nama.
Munkin ada peserta yang kata, ia bukan pun hibah, ia adalah pembelian semula oleh Syarikat. Jawapan saya, tuan tuan yang budiman kena sedar bahawa mana mana jualan yang disyaratkan beli balik oleh penjual pada samada harga yang lebih rendah atau mahal adalah bay’ al-inah yang dilarang oleh Rasulullah. Kalau dijual beli pada harga yang sama pun, ia masih haram kerana ia menjadi bay’ al-wafa yang diharamkan oleh Jumhur ulama, kerana ia menjadi seperti peserta memberi pinjaman kepada syarikat dan syarikat cagarkan barang yang dibeli, lebih lebih lagi apabila ada manafaat dalam bentuk hibah kepada pembeli/ pemberi pinjaman.
Persoalan seterusnya, munkin ada yang mendakwa syarikat hanya beri hibah 72% setahun, kalau tunggu lebih lama dapat semula 100%. Persoalannya atas dasar apa syarikat nak beri balik Hibah 72% per anum sekiranya ia adalah perniagaan biasa dan bukannya program money game? Tambahan pulan, kenapa perlu wakilkan syarikat pula utk jual barang? Akhirnya syarikat akan jual balik barang yg sama kpd ahli baru pula, dan cycle itu akan berulang semula. Berniaga apa mcm tu? Di manakah “real bisnes” syarikat? Tiada pergerakan barang pun dari produser to end user. Jika lah ini tidak money game apa lagi namanya?

Program seperti di atas adalah bermasalah sebab ia bukan jual beli yang sebenar. Kenapa perlu dipulangkan balik harga pembelian, siapa penjual yang pertama dan siapa yang akan jadi wakil. Ia juga melibatkan isu dua transaksi dalam satu (bay’atain fi bay’ah yang dilarang oleh Rasulullah SAW kerana ada unsur mensyaratkan pembelian barangan dengan mewakilkan semula penjual menjual barangan tersebut.

Comments

comments