Perkara ini disebut di dalam Al Quran pada penghujung ayat kedua daripada surah al Nur: (وليشهد عذابهما طائفة من المؤمنين) “Hendaklah hukuman (sebat 100 sebatan ke atas penzina lelaki dan wanita) disaksikan oleh sekumpulan daripada orang orang beriman” Menurut Ibn Kathir, ayat ini merupakan pengajaran kepada pelaku zina apabila mereka disebat di depan khalayak ramai, ia akan memberi kesan yang lebih untuk mencegah dan menghalang mereka daripada mengulangi kesalahan tersebut. Apabila dilakukan di depan khalayak, perbuatan kesalahan tersebut akan tercela, terhina dan terdedah keaiban pelaku. Ibn Kathir kemudian membincangkan apa yang dimaksudkan dengan perkataan ta’ifah atau sekumpulan dan berapa orangkah had minimum yang menyaksikan hukuman dilaksanakan. Beliau menukilkan, menurut Hasan al Basri, yang dimaksudkan dengan ayat di atas, pelaksanaan hukuman dilakukan secara terang terangan (‘alaniyah). Menurut Ibn Abbas perkataan ta’ifah membawa maksud seorang lelaki ke atas. Mujahid dan Ikrimah pula berkata ta’ifah membawa maksud seorang lelaki sehingga sehingga satu ribu orang. Dengan itu Imam Ahmad berpendapat ta’ifah boleh digunakan untuk seorang lelaki. Ata’ bin Abi Rabah dan Ishak bin Rahawaih pula berkata ia boleh digunakan bagi dua orang lelaki. Said bin Jubair pula berpendapat ia merujuk kepada dua orang lelaki ke atas. Al Zuhri berkata ia merujuk kepada tiga orang ke atas. Imam Malik dan Imam Syafie pula berpendapat ia mestilah empat orang lelaki ke atas kerana kesalahan zina mesti dibuktikan sekurang-kurangnya dengan empat orang saksi lelaki. Rabiah berpendapat sekurang kurangnya lima orang. Hasan Basri berpendapat sekurang kurangnya sepuluh orang. Qatadah berkata Allah SWT menyuruh supaya azab pelaksanaan hukuman ke atas pesalah mestilah disaksikan oleh sekumpulan orang beriman supaya ia menjadi pengajaran, ibrah dan pencegahan. Ibn Abi Hatim menukilkan pandangan Nasir bin Alqamah bahawa (pelaksanaan hukuma di hadapan khalayak) bukan bertujuan mendedahkan keaiban, tetapi supaya mereka mendoakan agar pesalah mendapat taubat, keampunan dan rahmat daripada Allah. Menurut Ibn Asyur pula, ayat di atas adalah suruhan supaya pelaksanaan hukuman dihadiri oleh sekumpulan jamaah Muslimin untuk merealisasikan pelaksanaan had dan mengelakkan sikap sambalewa, kerana pelaksanaan secara tersembunyi akan menyebabkan kelupaan. Apabila pelaksanaan tidak disaksikan, maka orang ramai tertanya-tanya kenapa tidak dikenakan hukuman. Apabila mereka mengetahui hukuman diabaikan, maka mereka tidak terlepas daripada tanggungjawab melarang kemunkaran pada penangguhan hudud. Menurut Ibn Asyur ayat ini juga memeberi pengajaran lain iaitu maqasid hudud (matlamat syarak pada hudud) dengan mengenakan hukuman ke atas pelaku maksiat adalah supaya orang lain tidak mengikuti kesalahan yang dilakukan. Dengan kehadiran sebilangan orang-orang yang beriman yang hadir akan mengambil pengajaran, mereka akan mengelakkan kesalahan tersebut dan akan tersebar berita daripada yang hadir kepada yang tidak hadir. Ta’ifah bermaksud jamaah atau khalayak ramai. Nota: Pelaksanaan hukuman ta’zir juga boleh dilakukan di depan khalayak berdasarkan kaedah qiyas kepada pelaksanaan hukuman hudud. Rujukan
- Tafsir Ibn Kathir
- Tafsir al Tahrir wa al-Tanwir Ibn Asyur