Pengenalan
Bab pertama akan memberikan gambaran menyeluruh berkenaan seksualiti dan jenayah seksual dalam Islam. Sebelum membincangkan tentang rogol, amat penting untuk memahami konsep seksualiti, had hubungan seksual yang dibenarkan, objektifnya, aktiviti seksual yang dilarang, dan langkah yang perlu diambil untuk mengekang jenayah seksual.
Seksualiti dalam Islam
Dalam Islam,seksualiti dianggap sesuatu yang normal dan naluri semulajadi yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada manusia.[1] Sebagaimana yang diketahui, adalah mustahil berlakunya percanggahan antara peraturan Allah dan fitrah semulajadi manusia.[2] Tidak ada dalil syarak yang menyebut bahawa keinginan seksual itu sesuatu yang jahat, atau memberikan kesan yang buruk. Antara dalil yang mengakui keinginan ini ialah hukum berkaitan perkahwinan sepertimana yang disebut dalam al-Quran maksudnya:
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Ar-Ruum 30:21)
Hukum ini bertujuan untuk mengatur naluri seksual dalam hubungan manusia. Disebabkan manusia itu dijadikan lemah dan tidak sempurna, keinginan seksual mempunyai kesan yang buruk dan bermasalah memyebabkan ianya perlu kepada suatu pengaturan. Oleh itu, hubungan seksual hanya dibenarkan dalam perkahwinan. Hubungan seks yang tidak dikawal boleh mengancam kestabilan masyarakat dan membawa kepada huru-hara. Kestabilan masyarakat dan keharmonian hidup ini terancam disebabkan menahan keinginan seksual seperti kerahiban dan juga aktiviti seksual yang bebas diluar perkawinan, sama ada heteroseksual, homoseksual, atau apa-apa sahaja jemis hubungan seksual yang lain.[3]
Kerahiban dan pembujangan tidak dituntut dalam Islam. Oleh itu, menjauhi perkahwinan dengan niat mengabdikan diri untuk beribadat dan melaksanakan tanggungjawab agama (sedangkan berkemampuan dari sudut kewangan dan fizikal) tidak selari dengan ajaran Islam. Terdapat hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan lain-lain menceritakan bagaimana sekumpulan sahabat datang kepada isteri nabi s.a.w dan bertanyakan tentang amal ibadat nabi.
Apabila diterangkan (amal ibadat nabi) kepada mereka, mereka merasa kurangnya amal mereka dan berkata:”Betapa jauhnya kita nak dibandingkan dengan Rasulullah s.a.w, sedangkan dosanya yang lalu dan akan datang telah pun diampunkan Allah!”. Seorang daripada mereka berkata:”Aku akan berpuasa dan tidak akan berbuka.” Yang kedua berkata:”Aku akan solat sepanjang malam dan tidak tidur.” Yang ketiga pula berkata:” Aku pula, aku akan menjauhi wanita dan tidak akan berkahwin.” Apabila Nabi s.a.w mendengar percakapan mereka, baginda menjelaskan kesalahan mereka dan penyimpangan mereka dari jalan yang benar dengan berkata:”Demi Allah, sesungguhnya aku adalah orang yang paling bertaqwa kepada Allah. Namun, aku berpuasa dan juga berbuka, aku bersolat dan aku juga tidur, dan aku mengahwini wanita. Sesiapa yang berpaling dari sunnahku bukan dari kalanganku”[4]
Dalam hadis yang lain, Sa’ad bin Abi Waqqas meriwayatkan bahawa Baginda melarang ‘Uthman bin Maz’un dari hidup dalam kerahiban: “Jika baginda membenarkan dia, kami yang lain juga pasti akan melakukannya.”[5] Galakkan untuk berkahwin terdapat dalam hadis yang lain: “Sesiapa yang mampu untuk berkahwin,maka berkahwinlah.”[6]
Tujuan hubungan seksual dalam Islam
Tujuan hubungan seksual dalam Islam boleh dibahagikan seperti berikut:
- Hubungan bersama dan kemesraan
Perkahwinan perlulah dibina berdasarkan saling mencintai, keharmonian, dan saling berkasih sayang seperti yang disebut dalam al-Quran:
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Ar-Ruum 30:21)
- Satu kerehatan dan riadah bagi jiwa
Manfaat ini diperolehi dengan menikmati hidup bersama pasangan dan berkongsi keseronokan. Dengan ini, hati akan sentiasa segar dan cekal dalam menjalani ibadah, ini kerana jiwa manusia ini terdedah kepada rasa bosan dan cenderung untuk menjauhi tugasan harian. Jika dikekang pada sesuatu yang membosankan, ia akan menjadi lemah dan letih, maka ia perlulah dihidupkan dengan keseronokan untuk mendapatkan kekuatan jiwa. Dengan kehadiran pasangan, seseorang akan mendapat ketenangan untuk menghilangkan rasa bosan dan menyegarkan hati. Hati orang-orang mukmin perlu kepada ketenangan yang halal dan dibenarkan syarak.[7] Ini disebut dalam al-Quran:
Dia lah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari diri yang satu, dan Dia mengadakan daripada itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain. (Al-A’raaf 7:189)
- Mencegah dari melakukan jenayah seksual
Memenuhi keinginan seksual melalui perkahwinan adalah digalakkan dalam Islam. Ini kerana ia dapat mencegah dari godaan untuk melakukan zina. Disebut dalam sebuah hadis, persetubuhan di antara suami isteri dianggap sebagai sedekah dan mendapat pahala. Para sahabat bertanya: “Bagaimanakah mungkin seorang melepaskan keinginannya pada isterinya mendapat pahala daripada perbuatan tersebut?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Bagaimanakah pandangan kamu jika dia melepaskan keinginannya pada yang haram, tidakkah dia mendapat dosa?”[8]
Hadis ini menunjukkan bahawa walaupun salah dan berdosa dengan melakukan persetubuhan yang diharamkan, namun ia mendapat pahala jika dilakukan melalui cara yang halal iaitu perkahwinan. Hadis ini juga menunjukkan bahawa persetubuhan bersama isteri bukan sahaja dianggap memenuhi kepuasan nafsu semata, malah dianggap sebagai ibadat dan amal kebaikan yang mendatangkan pahala. Jika mencari kepuasan seksual diluar batasan yang dihadkan oleh Allah adalah dosa, maka mencarinya melalui yang halal diberi pahala. Melalui perkahwinan, ia dapat menghalang manusia dari menhampiri hubungan seksual yang diharamkan. Al-Quran mengambarkan isteri sebagai ‘pakaian’ untuk suami, dan suami pula ‘pakaian’ untuk isteri:
Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. (Al-Baqarah 2:187)
Sifat pakaian itu memberikan perlindungan kepada pemakainya, ‘pakaian’ dalam ayat di atas menunjukkan betapa pentingnya fungsi perkahwinan iaitu melindungi mereka dari terjebak dalam hubungan seks yang diharamkan. Dalam perundagan Islam, pezina yang sudah berkahwin dipanggil “al-zaani al-muhsin” yang bermaksud pezina yang ‘dilindungi’, kerana mereka sebenarnya sudah pun “dilindungi” melalui cara yang halal (perkahwinan) dari godaan nafsu.
- Kelangsungan nasab
memenuhi kepuasan seksual bukanlah satu-satunya tujuan hubungan antara lelaki dan wanita. Memelihara kelansungan nasab manusia juga penting dan perlu diambilkira, seperti yang disebut dalam al-Quran:
Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu
Berdasarkan kepada beberapa tafsiran seperti yang disebutkan oleh ‘Abdullah ibn ‘Abbas[9],al-Suddi[10], dan Hassan al-Basri[11] berpendapat “untuk mencari apa yang telah Allah tetapkan untuk kamu” bermaksud berusaha untuk mendapatkan zuriat.[12] Ini menunjukkan kestabilan dalam sesebuah kekeluargaan boleh dicapai melalui perkahwinan yang halal. Islam menganggap institusi kekeluargaan merupakan unit asas dalam pembentukan sosial. Keluarga adalah asas kepada pembentukan bangsa, budaya, masyarakat dan tamadun manusia.
Dan Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan penalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendakiNya). (Al-Furqaan 25:54)
Jenayah seksual dalam Islam
Jenayah seksual boleh diklasifikasikan kepada dua
Pertama: jenis yang dianggap sebagai dosa besar yang dilarang berdasrkan nas yang jelas, bagi jenis ini hukuman berat akan dikenakan ke atas pelakunya. Termasuk dalam jenis ini ialah jenayah zina, rogol dan homo seksual. Selain daripada jenis ini, jenayaah seksual yang lain dianggap kurang berat.
Terdapat stu kaedah dalam fiqh menyebut: ‘al-aslu fi al-‘abda’ at-tahrim” yang bermaksud “hukum asal bagi hubungan seksual adalah diharamkan”.[13] Namun, apa yang dilarang dibenarkan dengan perkahwinan yang sah. Ini merupakan pengecualian dari kaedah yang umum :”asal sesuatu adalah arus sehingga dibuktikan haram”.[14] Oleh itu, organ seks kekal di bawah hukum yang dilarang sekalipun pada waktu yang terdesak,manakala bagi larangan yang lain menjadi harus dalam keadaan terdesak seperti memakan khinzir atau meminum arak. Al-Suyuti menegaskan hikmah disebalik larangan ini ialah hubungan seks yang diharamkan akan membawa kepada kerosakan nasab keturunan dan kehancuran institusi kekeluargaan yang akan mengancam kelangsungan masyarakat manusia.[15]
Selain daripada persetubuhan yang diharamkan (zina), serangan seksual yang tidak bermoral juga termasuk dalam larangan yang ketat. Kebanyakan para fuqaha mengenakan hukuman yang berat untuk jenayah ini berdasarkan tahap keseriusan jenayah. Jika dibuktikan bersalah, pelaku tersebut sama ada akan dikenakan hukuman had bagi jenayah zina atau dikenakan hukuman ta’zir.[16] Serangan seksual juga boleh dikaitkan dengan jenayah hiraba, iaitu salah satu jenayah yang dikenakan hukuman hadd berdasarkan nas al-Quran. Jenayah ini digambarkan dengan pelbagai gambaran seperti mengambil dengan kekerasan, samun, rompakan di atas jalan, atau berperang melawan pemerintah muslim. Hukuman bagi jenayah ini berdasarkan ayat al-Quran:
Balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). (Al-Maaidah 5:33)
Ibn al-‘Arabi, hakim mazhab maliki berpendapat serangan seksual boleh dianggap sebahagian daripada hiraba. Beliau mengisahkan bahawa sekumpulan orang telah diserang, salah seorangnya ialah wanita yang dirogol (mughalibatan ‘ala nafsiha). Apabila kes ini dibawa ke mahkamah, sebahagian orang menegaskan bahawa ia bukan hiraba kerana tiada harta yang dirampas dan tiada senjata yang digunaka. Mereka menganggap jenayah hiraba merujuk kepada serangan ke attas harta milik seseorang. Ibn al-‘Arabi menjawab dengan tegas bahawa hiraba terhadap kemaluan seseorang lebih berat dari hiraba terhadap harta yang diambil secara kekerasan. Dia menguatkan hujahnya dengan berkata:
Manusia biasanya tidak akan melawan untuk melindungi harta mereka jika nyawa mereka dalam bahaya, namun mereka akan melwan jika isteri atau anak perempuan mereka kan dirogol attau kehormattan mereka akan dicabul[17]
Berdasarkan pandangan ini, al-sayyid sabiq, seorang tokohilmuan mesir dalam kitabnya, fiqh al-sunnah menjelaskan hiraba sebagai jenayah yang ddilakukan secara perseorangan atau berkumpulan yang menyebabkan huru-hara, membunuh, merampas harta dengan kekerasan, menyerang atau merogol wanita, membunuh haiwan ternakan dan memusnahkan tanaman.[18]
Selain daripada hubungan seksual yang diharamkan dan semua yang membawa kepadanya, segaka bentuk aktiviti seksual juga amat dilarang sama ada dilakukan antara seorang lelaki dan seorang wanita, atau dua antara dua lelaki atau antara dua wanita atau individu perseorangan. Segala aktiviti seksual ini dianggap aktiviti luar tabi’i dan merosakan seksualiti manusia. Para ulama dari pelbagai mazhab berbeza pendapat tentang hubungan seks antara dua lelaki (homoseksual) dan antara dua wanita (lesbian) namun mereka menganggap kedua-duanya haram dan termasuk dosa besar, mereka berselisih pendapat tentang tahap keseriusan hukuman bagi jenayah ini.[19]
Selain daripada larangan ini, serangan seksual yang lain tidak dianggap sebagai dosa besar. Oleh itu, pelakunya dikenakan hukuman yang kurang berat. Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, kepuasan seksual hanya dibenarkan melalui perkahwinan yang sah anttara pasangan suami isteri.[20] Namun begitu, sekalipun dalam ikatan perkahwinan terdapat juga beberapa pengecualian. Pengecualian ini boleh dibahagikan kepada dua: larangan terhadap perbuatan itu sendiri, dan larangan ke atas persetubuhan pasangan kerana faktor luaan. Mendatangi isteri melalui duburnya ialah perbuatan yang ditegah. Ulama shafi’iyyah berpendapat jika suami melakukannya utuk pertama kali, dia akan diberi peringatan terhadap perbuatannya. Jika dia mengulangi lagi, dia boleh dikenakan hukuman ta’zir.[21]
Terdapat juga larangan persetubuhan antara pasangan dalam keadaan-keadaan tertentu. Para fuqaha sebulat suara bahawa persettubuhan antara suami isteri dilarang sewakttu isteri sedang haidh dan ketika pendarahan selepas bersalin. Melanggar larangan ini dengan melakukan perbuatan ini dianggap pecerobohan terhadap iman. Al-Nawawi dari mazhab shafie berkata:
“sahabat kami yang lain dan majoriti para fuqaha berpendapat seorang lelaki yang menyetubuh isterinnya ketika a hadih sedangkan dia menyakini ianya dibenarkan akan dihukum kerana melakukan dosa besar.”[22]
Para fuqaha juga berpendapat larangan ini termasuk ketika melakukan ibadah. Sepertti dalam keadaan berihram ketika haji, iktikaf pada bulan ramadhan, dan puasa. Walaupun tiada hukuman secara fizikal, namun perbuttan itu membattalkan ibadah tersebut. Orang yang melakukanya perlu bertaubat, mengulangi haji atau puasa berkenaan, selain diminta membayar kaffarah.[23]
- Langkah-langkah pencegahan jenayah seks
Islam menganggap hukuman itu sebahagian juzuk kecil dari keseluruhan sistem perundangan yang bersepadu. Ayat-ayat al-Quran yang membicarakan tentang hukuman kurang dari sepuluh ayat daripada 6000 lebih keseluruhan ayat-ayat al-Quran. Mereka gagal dan tidak dapat memahami dengan tepat pelaksaan secara berasingan. Perundangan yang ketat bukanlah faktor utama dlam penguatkuasaan moral dan nilai murni. Hukuman berat hanyalah jalan terakhir untuk menghukum penjenayah yang terdiri daripada juzuk kecil dari keseluruhan masyarakat. Undang-undang jenayah bukanlah untuk menghukum pelaku jenayah namun ianya lebih bertujuan untuk membimbing dan melindungi keselamatan masyarakat dari terjebak dalam jenayah tersebut. Islam tidak menganggap hukuman sebagai satu-satunya cara untuk merawat masalah sosial dan jenayah. Faktor utama untuk mengurangi kadar jenayah ialah melalui pencegahan. Hukuman bagi jenayah zina umapamanya, hanya disebut dalam satu ayat daripada al-Quran (An-Nuur 24:2). Namun surah yang membicarakan hukuman zina ini menyebut berpuluh ayat yang menyebut tentang cara pencegahan dari zina.[24]
Berikut disenaraikan beberapa cadangan untuk mencegah jenayah seksual.
(Untuk bacaan lanjut boleh dapatkan buku “Jenayah Rogol menurut Undang Undang Islam oleh penulis, cetakan DBP 2018). Untuk tempahan boleh ke website DBP dengan harga tawaran RM15.30 : www.dbpniaga.my.
[1] Keinginan seks sebagai naluri semulajadi diakui dalam Islam, walaupun ia berbeza dengan keinginan makan dari sudut memenuhi keinginan. Keinginan makan jika tidak dipenuhi boleh menyebabkan kecederaan pada tubuh dan mengakibatkan kematian. Berbeza dengan keinginan seks, jika ia tidak dipenuhi tidak akan membawa kepada kematian. Ini dibuktikan dengan fakta bahawa manusia boleh hidup sepanjang hidup mereka tanpa memenuhi keinginan seks dan ia tidak memudaratkan mereka. Lihat Taqiyuddin al-Nabhan, Sistem Sosial dalam Islam, (London: Penerbitan al-Khalifah, 1990), hlm. 24.
[2] Abdullah Nasih, Islam dan Seks (Kairo: Penerbitan Dar al-Salam,2002), ms 10-11.
[3] Yusuf al-Qaradawi, Halal dan Haram dalam Islam, terjemahan Inggeris oleh Kamal el-Helbawy (London: Pertubuhan al-Birr, 2003), ms 132-133. Syeikh Yusuf al-Qaradawi ialah seorang tokoh Islam semasa, kini menjadi dekan bagi Fakulti Pengajian Islam di Universiti Qatar.
[4] Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail al-Mughira (m. 256 H/870 Masihi), al-Jami’ al-Sahih, edisi pertama, (Kairo: al-Maktaba al-Salafiyya, 1400 Hijrah) hadis no. 5063. Al-Bukhari, seorang tokoh awal dalam bidang hadis dan pengumpul hadis, dilahirkan di Bukhara, Samarqandi pada tahun 194 Hijrah/810 Masihi. Antara penulisannya yang lain al-Tarikh al-Kabir, al-Sunan fi al-Fiqh, al-Asma’ wa al-Kunna. Lihat Kahhala, Mu’jam al-mu’allifin, jil. 9, ms 52-53.
[5] Ibid, hadis no. 5073.
[6] Ibid, hadis no. 5065
[7] Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (m. 504 H/1111 Masihi), ihya’ ulum al-din, tahqiq Muhammad ‘Abd al-Qadir ‘Ata’, (Kairo: Dar al-Taqwa li al-Turath, 2000), jil. 2, ms 42-43. Al-Ghazali dikenali dengan Hujjat al-Islam (Hujah Islam) dilahirkan di Tus, Iran pada tahun 450 H/1058 Masihi, seorang tokoh mazhab Syafie dan ahli falsafah terkemuka. Dia pernah mengajar di Akedemi Nizamiyya (al-Madrasa al-Nizamiyya) Baghdad. Lihat al-Zirikli, al-A’lam, jil. 7, ms 22.
[8] Muslim bin Hajjaj al-Qushairi al-Naysaburi (m. 261 H/875 Masihi), al-Jami’ al-Sahih, tahqiq Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi, (Beirut: Dar ihya’ al-Turath, t.t), jil. 2, hlm. 697. Muslim bin Hajjaj ialah seorang tokoh hadis yang terkenal dan juga seorang pengumpul hadis. Dilahirkan di Naysabur pada tahun 206 H/810 Masihi. Antara karyanya yang lain al-Kuna wa al-Asma, Awham al-muhaddithin, Tabaqat al-Tabi’in. lihat Kahhala, Mu’jam al-Muallifin, jil. 12, hlm. 232.
[9] Beliau ialah ‘Abd Allah bin ‘Abbas bin ‘Abd al-Mutallib al-Qurashi, sepupu Nabi s.a.w, dilahirkan di Mekkah dan meninggal di Ta’if pada tahun (68 H/687 Masihi). Lihat Kahhala, Mu’jam al-Muallifin, jil. 6, ms 276.
[10] Beliau ialah Isma’il bin ‘Abd al-Rahman al-Suddi al-Qurashi, seorang penafsir al-Quran yang hebat di Kufah (w 127 H/745 Masihi). Lihat Kahhala, Mu’jam al-muallifin, jil. 2, hlm. 276.
[11] Beliau ialah Abu Sa’id al-Hassan bin Abi al-Hasan Yasar al-Basri, dilahirkan di Madinah pada tahun 21 H/641 Masihi. Seorang ahli Teologi di Basrah ketika kurun akhir yang pertama Islam, terkenal dengan sifat seorang yang soleh, meninggal di Basrah pada tahun 110H/728 Masihi. Lihat al-Shirazi, Tabaqat al-Fuqaha’, hlm. 91-92.
[12] Lihat Isma’il bin ‘Umar bin Kathir, (w 773 H/1371 Masihi). Tafsir al-Quran al-‘Azim, (Beirut: Dar al-Fikr, 1401 H) jil. 1, hlm. 343; Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, al-Jami’ li ahkam al-Quran, (Beirut: Dar al-Kutub al-illmiyya, 1996, edisi ke-5) jil. 2, hlm. 212.
[13] Zain al-‘Abidin bin Ibrahim bin Nujaim (m. 970 H/1563 Masihi), al-Ashbah wa al-naza’ir ‘ala madhhab Abi Hanifa al-Nu’man, (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyya, 1993), hlm. 66. Ibn Nujaim adalah seorang tokoh mazhab Hanafi yang terkenal dilahirkan di Kairo pada tahun 925 H/1519 Masihi. Antara karyanya yang lain al-Bahr al-ra’ik, al-Fatawa al-Zayniyya dan al-Fawa’id al-Zayniyya di fiqh al-Hanafiyya. Lihat al-Zirikli, al-A’lam, jil. 3, hlm. 104.
[14] Jalal al-Din ‘Abd al-Rahman bin Abi Bakar al-Suyuti (m. 910H/1505 Masihi), al-Ashbah wa al-Naza’ir, (Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, 1987), hlm. 60-61. Al-Suyuti merupakan seorang tokoh Mesir bermazhab Syafie yang terkenal, dilahirkan pada tahun 849 H/1445 Masihi. Antara tulisannya yang lain, al-Dur al-manthur fi tafsir bi al-ma’thur, al-Jami’ al-saghir fi al-hadith dan al-Itqan fi ‘ulum al-Quran. Lihat Kahhala, Mu’jam al-Muallifin, jil. 5, hlm. 128-129.
[15] Al-Suyuti, ibid, hlm. 207.
[16] Segala bentuk ancaman atau kekerasan fizikal yang dilakukan oleh seorang penjenayah dengan apa cara sekalipun menjadikan dia bertanggungjawab bagi jenayah seksual yang dilakukan. Ini sebagaimana yang telah disebutkan, segala hubungan rambang, tanpa mengira wujud kerelaan atau tidak, adalah dilarang dan diharam diluar perkahwinan, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan kekerasan. Lihat, Abul A’la Mawdudi, Hak-hak Manusia dalam Islam, (Leicester, UK: Pertubuhan Islam, 1980), hlm. 18.
[17] Abu Bakar Muhammad bin ‘Abdullah bin al-‘Arabi (m. 543H/1148 Masihi), Ahkam al-Quran, tahqiq Muhammad ‘Abd al-Qadir, ‘Ata’, (Beirut: Dar al-Kutub al-‘ilmiyya, 1997), jil. 2, hlm. 95. Ibn al-‘Arabi adalah tokoh Sepanyol bermazhab Malik, dilahirkan di Ishbili, Sepanyol pada tahun 468 H/1076 Masihi. Antara hasil tulisannya ialah al-Mahsul fi Usul al-Fiqh, Kitab al-Siyasa, dan Kitab mushkil al-Quran wa al-Sunnah. Lihat Ibn Khalikan, Wafayat al-A’yan, jil. 4, hlm. 296.
[18] Al-Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunna (Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, 1977), jil. 2, hlm. 464.
[19] Abdur Rahman I.Doi, Shariah: The Islamic Law, (London: Ta Ha Publication Ltd. 1997), hlm. 241-243; ‘Abd al-Qadir ‘Awda, al-Tashri al-jina’I, (Beirut: Mu’asasah al-Risala, 1985), jil. 2, hlm. 354-369.
[20] Mengikut para fuqaha klasik, kebenaran hubungan seksual juga merangkumi hamba abdi yang dimilikinya. Namun, ia tidak termasuk dalam skop kajian ini maka ia tidak akan dibincangkan.
[21] Al-Suyuti, al-Ashbah wa al-naza’ir, hlm. 489. Ta’zir akan dibincangkan lebih lanjut dalam bab 5, hlm. 120-124.
[22] Muhyi al-Din bin Sharaf al-Nawawi (m. 676H/1277 Masihi), al-Majmu’ sharh al-Muhazzab, tahqiq Mahmud Matrahi, (Beirut: Dar al-Fikr, 1996), jil. 2, hlm. 374. Al-Nawawi seorang tokoh terkemuka mazhab Shafi’e, juga tokoh hadis, dilahirkan di Nawa, Damsyik pada tahun 631 H/1233 Masihi. Antara karyanya yang lain Riyad al-Salihin, al-Azkar, al-Majmu’. Lihat al-Zirikli, al-A’lam, jil. 8, hlm. 149.
[23] Al-Suyuti, Al-Ashbah wa an-Naza’ir, hlm. 273.
[24] Yusuf al-Qaradawi, Pengenalan terhadap Islam, (Kairo: Islamic Inc. Percetakan dan pengedaran, 1995), hlm. 108-109.