Dadah adalah musuh nombor satu negara. Penyalahgunaan dadah telah menyebabkan berbagai masalah sosial, jenayah, dan memusnahkan hidup generasi muda yang merupakan aset modal insan yang penting kepada negara. Kerajaan telah membelanjakan peruntukan kewangan yang besar untuk membina pusat Serenti untuk menyediakan rawatan kepada mereka yang terjebak, kos yang banyak telah dibelanjakan untuk pemulihan. Kajian ini membincangkan isu ketagihan dadah dan adakah ia dianggap sebagai satu penyakit yang boleh mengecualikan penagih daripada hukuman. Kajian ini mencadangkan selain daripada pengedar dadah,  penagih dadah juga perlu dipersalahkan dan dihukum dengan hukuman yang berat.  

 

Pendahuluan

Masalah penyalahgunaan dadah adalah gejala penyakit masyarakat yang paling merbahaya sekarang. Ia menyerang semua lapisan masyarakat khususnya golongan muda. Dadah melemahkan kekuatan ekonomi dan melumpuhkan pembangunan negara dengan meracuni pemikiran dan semangat individu untuk memantapkan diri dengan keperluan semasa dan cabaran masa hadapan. Dadah juga merupakan punca segala jenis jenayah dan maksiat seperti merompak, mencuri, memeras ugut dan lain-lain jenayah yang membawa kekacauan dan angkara rumah tangga, masyarakat dan negara. Di samping itu penagih dadah adalah beban kepada negara. Kerajaan terpaksa menghabiskan duit berjuta-juta ringgit setahun untuk menanggung kos pusat-pusat pemulihan. Pada masa yang sama pengedar mengaut keuntungan berganda-ganda  daripada penderitaan penagih yang setia.

 

Daripada dulu lagi umat Islam ditegah daripada perkara-perkara yang memabukkan. Islam mengharamkan benda-benda yang memabukkan bagi tujuan menjaga akal, kesihatan tubuh badan dan melindungi individu dan anggota masyarakat keseluruhannya. Dengan kata lain Islam mengharamkan perkara-perkara yang memabukkan kerana kemudaratan yang disebabkan olehnya. Kemudaratan ini melibatkan diri penagih pada aqalnya, tubuh badannya, pembaziran harta dan kerosakan hubungan keluarga dan tidak menunaikan suruhan agama. Ia tidak terbatas pada dirinya sahaja tetapi menyusahkan masyarakat dan  umat keseluruhannya.[1]

 

Penyalahgunaan Dadah Menurut Perspektif Syarak

Tidak ada dalil yang jelas menyebut perkataan dadah dan pengharamannya. Ini kerana masalah ini baru berlaku. Umat Islam hanya mengenali dadah pada kurun ke tujuh Hijrah selepas kemasukan Kerajaan Tartar.[2]

 

Atas alasan bahawa tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa dadah itu haram seperti arak yang dianggap najis oleh sebahagian besar umat Islam pada hari ini ada yang mengambil kesempatan berseronok dengan dadah atau bekerja keras mengaut keuntungan daripada perniagaan dadah.

 

Rasulullah telah diberikan  jawami al-Kalim di mana kata-katanya adalah sedikit tetapi mempunyai banyak maksud. Dalil-dalil yang digunakan oleh ulama bagi pengharaman dadah  adalah berdasarkan kaedah-kaedah dan prinsip-prinsip yang digunakan untuk mengambil hukum daripada Al-Quran atau Hadis.

[1] Dr. Yusuf Hamid al-Ālim, al-Maqasid al-Ammah li al-Syariat al-Islamiyyah, The International Institute of Islamic Thought, Virginia, U.S.A, hlm.376-387.

[2] Bahansi, Ahmad Fathi, Al- Masuliyyah al-Jina’iyyah fi al-Fiqh al-Islami, Mu’asasah Halabi, Beirut. 1969, hlm. 227. Lihat juga Ibn Taimiyyah, al-Siyasah al-Syar’iyyah, hlm.116.

slides berkaitan

hukuman ke atas penagih dadah 131113 human rights conference uia

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *